Pasar tani lestari, pintar di Pahang bermula tahun depan

Iklan
Abd Rahim menunjukkan penggunaan transaksi tanpa tunai kepada pengguna di Pasar Tani UTC di sini pada Ahad.

KUANTAN - Pahang akan melaksanakan konsep lestari dan pintar, transaksi tanpa tunai bagi keseluruhan urusniaga di 23 pasar tani di negeri ini bermula tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, pasar tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC) antara yang pertama melaksanakan konsep itu dan akan dilaksanakan di lokasi lain di seluruh negeri dan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini dianggarkan sebanyak 40 peratus pasar tani sudah melaksanakan konsep berkenaan dan selebihnya akan dilakukan secara berperingkat termasuk memperluaskan konsep itu di pasar malam seluruh negeri.

"Kita (kerajaan Pahang) menggalakkan pasar tani menggunakan konsep ini dan akan diperluaskan di daerah lain mulai tahun depan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Iklan

"Menerusi mesyuarat kerajaan 22 Oktober nanti, kita akan membincangkan cara perlaksanaan konsep tanpa tunai ke semua pasar tani dan kalau boleh kita mahu penggunaan konsep ini mencapai 100 peratus bermula tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pasar Tani Lestari dan Pintar di perkarangan Pasar Tani UTC di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Saiful Sadri.

Tambahnya, perkembangan teknologi ini seiring, namun dalam masa yang sama perlu mengurangkan pencemaran, menjadikan bumi Pahang lebih lestari.

Selain itu, Abd Rahim memaklumkan dalam konsep tersebut peniaga pasar malam juga tidak digalakkan lagi menggunakan generator.

Tegasnya, penggunaan generator bukan sahaja menyebabkan pencemaran bunyi malah udara kerana terdapat pengeluaran asap.

"Justeru, melalui konsep lestari, peniaga disarankan menggantikan mesin generator yang kebiasannya digunakan di setiap pasar malam kepada penggunaan kuasa solar.

"Bagi urusan jual beli di pasar-pasar seperti ini pula, bekas plastik termasuk plastik jualan turut ditukar dengan menggunakan plastik mudah lupus,” ujar beliau.