Fesyen tak kena tempat di Keretapi Sarong 22?

Iklan
Program Keretapi Sarong membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. - Foto Bernama.

MERAK Jalanan nak ucap tahniah kepada Tourism Malaysia yang telah berjaya menganjurkan program Keretapi Sarong 22 pada 16 September lalu.

Memang terbaik program tersebut yang telah menghimpunkan majoriti anak-anak muda berpakaian mengikut tema retro seperti yang dikehendaki.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan seronok melihat gelagat mereka. Ada yang berbaju Melayu siap bertanjak, berbaju kurung songket moden lengkap berselendang sedondon dan ada juga yang mengikut pakaian era 1970-an dan 1980-an berserta aksesori yang kini jarang-jarang ditemui.

Pun begitu, di sebalik kehadiran lebih kurang 5,000 orang tersebut, ada juga yang dikatakan berpakaian tidak kena dengan zaman, terlalu moden sehingga tenggelam keunikan pakaian tradisi yang sepatutnya ditonjolkan. Itu komen segelintir warganet di media sosial.

Iklan

Merak Jalanan sendiri adalah antara ribuan peserta pada hari tersebut. Merak Jalanan pakai pakaian yang sederhana saja namun masih bersarung, nama program pun Keretapi Sarong.

Begitu jugalah dengan orang lain. Ada yang sederhana, ada yang kreatif malah ada yang terlebih kreatif sehingga mungkin boleh menjadi inspirasi kepada selebriti Aina Abdul yang terkenal dengan fesyen beraninya itu.

Iklan

Bagi Merak Jalanan, perkara tersebut bukanlah salah besar dan tidak wajar dijadikan isu pun. Setiap daripada kita ada cita rasa berfesyen. Tidak salah jika kain sarung tersebut dipelbagaikan mengikut kreativiti cuma perlulah berpada-pada supaya masih menjaga sensitiviti.

Contohnya dalam satu majlis lain tidak lama dahulu, ada yang berseluar pendek tetapi bersongkok, itu sangatlah tak sesuai.

Apa yang pasti, program ini telah membuatkan majoriti orang muda kembali mengenang dan menghargai khazanah silam negara. Sikit-sikit tak kena itu Merak Jalanan anggap sebagai adat dalam mana-mana program. Yang penting matlamatnya tercapai.