Sasar lebih 10,000 responden online sertai kaji selidik

Iklan
Kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 bermula hari ini hingga 9 Oktober depan. Gambar kecil: Anis

SHAH ALAM - Firma penyelidikan, O2 Research Malaysia (O2), menyasarkan lebih 10,000 responden berusia 18 tahun ke atas mewakili pelbagai lapisan masyarakat dan kaum bagi menyertai kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 secara dalam talian dilaksanakan selama tiga minggu bermula hari ini hingga 9 Oktober depan.

Ketua Penyelidiknya, Anis Anwar Suhaimi berkata, O2 memilih metodologi kajian secara dalam talian bagi mengumpul data kerana fakta menunjukkan kadar capaian internet di Malaysia hingga tahun 2021 telah mencecah sehingga 98.6 peratus atau hampir keseluruhan rakyat Malaysia mempunyai akses bagi menjawab soal selidik berkenaan.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, Anis Anwar berkata, pihaknya berharap semua responden terdiri daripada pembaca pelbagai etnik utama di Malaysia dari Perlis sampai ke Sabah termasuk pengundi berada di luar negara akan memberi respons penuh terhadap soalan dikemukakan secara sah dan jujur.

"Soal selidik ini juga dijangkakan akan menawarkan sentimen awam rakyat bukan sahaja tahap sokongan kepada parti bertanding tetapi perkara yang menjadi keutamaan dan faktor pengundian yang melibatkan imej parti, personaliti calon serta isu semasa.

Iklan

"Pemilihan soalan yang dilakukan sememangnya mengambil kira faktor penting yang mempengaruhi corak sokongan pengundi kepada parti politik bertanding,” katanya pada Ahad.

Anis Anwar menjelaskan, dapatan yang diperoleh itu akan dikongsikan semula dan pembaca boleh menilai pendirian semasa yang diambil oleh rakyat Malaysia secara umumnya berkaitan dengan proses demokrasi serta hala tuju negara kini.

Iklan

Tegasnya, kajian ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan rakyat dalam menentukan hala tuju negara tetapi juga sebagai indikator dan kayu ukur terhadap pemimpin politik agar mengutamakan aspirasi serta suara rakyat khususnya dalam penggubalan dasar negara.

"Media sebenarnya dianggap sebagai cabang keempat kerajaan selepas eksekutif, perundangan dan kehakiman demi memastikan proses semak dan imbang serta amalan demokrasi berjalan dengan baik di Malaysia,” jelasnya.

Anis Anwar menambah, hasil respons yang diberikan oleh pembaca akan disaring terlebih dahulu agar jumlah persampelan mewakili demografi populasi rakyat Malaysia dari segi etnik, jantina, umur, kelas ekonomi dan wilayah bagi mendapatkan bacaan lebih tepat.