Tak suruh puja, jangan pula hina

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123rf

TIDAK disuruh puja, tetapi jangan pula menghina, cukup dengan simpati atas penderitaan yang dihadapi kerana kita tidak tahu apa yang mereka lalui.

Tidak tahu di mana silapnya, ada segelintir individu yang tidak mempunyai sifat empati terhadap orang lain dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur hinaan.

Iklan
Iklan

Lihat sahaja di laman sosial mengenai kejadian seorang wanita yang juga ejen kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat, Kelantan beberapa hari lalu.

Kecaman terhadap insiden yang berlaku kepada wanita itu tidak sepatutnya berlaku sedangkan doa yang sangat diperlukan oleh keluarganya.

Iklan

Biarpun rayuan serta nasihat dilontar oleh keluarga mangsa agar kecaman tidak lagi dilakukan, namun ia seakan-akan mencurahkan air ke daun keladi.

Mungkin warganet muak dengan berita tersebut atau tidak senang dengan hubung kait kes penculikan itu dengan isu dadah. Namun, ia bukan tiket kepada sesiapa sahaja untuk menjadi pembuli siber.

Iklan

Menerusi laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dua tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi perbuatan buli siber.

Lihat sahaja di media sosial, jika ada yang berkongsi masalah baik menyentuh isu kematian saudara, kecurian harta, kehilangan kerja mahupun kesihatan, ada sahaja yang menjadikannya sebagai isu lawak.

Terbaharu, membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, apabila prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke hospital.

Ideologi politik yang berbeza telah menyebabkan sebahagiannya menghalalkan tindakan untuk mentertawakan pemimpin UMNO itu.

Bukan itu sahaja, makin ramai yang berpendapat bahawa banduan tidak boleh menerima layanan istimewa atas dosa yang dilakukan.

Ini membawa kita kepada persoalan, apakah hak-hak yang wajar diberi kepada banduan sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan ketika dipenjarakan.

Ada satu lagi insiden di mana ada segelintir masyarakat di negara ini, gemar menyalahkan orang lain dan mengutuk sesiapa sahaja tanpa batasan.

Jika ada video kemalangan tular di media sosial, warganet tidak merasa malu untuk mengutuk mangsa apatah lagi si pelaku.

Seakan-akan tidak sedar, gambar dan profil mereka jelas terpampang setiap kali melontarkan kenyataan. Ini akan mencerminkan sikap mereka yang sombong kerana tidak sedar ALLAH sentiasa menguji kita dengan cabaran hidup.

Apa perasaan jika peristiwa itu berlaku kepada mereka, adakah ahli keluarga akan malu, marah atau reda dengan tindakan warganet lain.

Padahal pada saat-saat seperti itu, setiap agama di dunia ini mengajar penganutnya untuk saling membantu meringankan beban sesama umat.

Cukup dengan ucapan simpati atau mendoakan agar Tuhan menaikkan ujian itu serta menggantikannya dengan nikmat yang lebih baik.

Isu paling hangat ketika ini ialah berita kemangkatan Ratu Elizabeth II, di Istana Balmoral, Scotland, 8 September lalu, turut mengundang pelbagai reaksi.

Cukup dengan hanya mendiamkan diri dan tidak perlu untuk mengeji orang yang meluahkan rasa simpati terhadap wanita itu.

Wajarlah kita berasa simpati kepada ahli keluarga tetapi agak keterlaluan jika memeluk gambar ratu itu yang paling lama memerintah dalam sejarah monarki moden.

Sedangkan penyanyi nasyid Raihan yang pernah diundang untuk mengadakan persembahan sempena Sidang Kemuncak Komanwel 1997 di Edinburgh, Scotland pun tidak bertindak sedemikian.

Kumpulan nasyid yang popular dengan lagu Syukur ini, pernah menerima kunjungan Ratu Elizabeth II di Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum Sukan Komanwel berlangsung pada 1998.

Tidak pula kita nampak kumpulan ini memeluk gambar ratu itu selepas baginda mangkat pada usia 96 tahun ekoran penyakit masalah pergerakan episodik.

Paling tidak, mereka sekadar memuat naik semula gambar kenangan yang dirakam lebih 20 tahun lalu.

Namun jangan pula kita menjadikan isu kemangkatan baginda sebagai bahan jenaka.

Bayangkan keluarga kita yang sakit mahupun telah meninggal dunia, diketawakan orang ramai.

Bukan mahu memuji atau mengagungkannya sehingga boleh mengundang persepsi lain, tetapi sikap bergembira atas penderitaan orang lain, bukanlah suatu yang mulia.

*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Mahkamah Sinar Harian