Kanak-kanak 10 tahun dikhuatiri lemas

Iklan
Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10, (tengah) dikhuatiri lemas di Sungai Manir, di sini, petang semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Manir berhampiran jeti Teluk Menara, Manir di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Manir dikatakan tenggelam selepas terjun ke dalam sungai tersebut.

Iklan
Iklan

Insiden berkenaan disedari oleh dua rakan mangsa yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun, ekoran rasa takut mereka bertindak pulang ke rumah tanpa memaklumkan kepada keluarga masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, bomba dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 8.24 malam.

Iklan

Katanya, unit Pasukan Penyelamat Di Air Kuala Terengganu turut membuat selaman selama 45 minit dalam lingkungan 50 meter dari tempat kanak-kanak itu dikhuatiri tenggelam.

"Kesukaran pada malam tadi adalah keadaan arus yang kuat jadi, kami mengambil keputusan untuk menghentikan selaman namun, kerja mencari di dasar sungai masih dijalankan,” katanya.

Iklan

Menurut Rozizah, kerja-kerja selaman diteruskan jam 7.30 pagi ini dengan membawa bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di samping aset lain.

Sementara itu, ibu mangsa, Noor Afidah Mohd. Salmi, 32, berkata, dia yang kurang sihat terkejut apabila dimaklumkan suaminya tentang kejadian yang menimpa anak mereka itu.

Katanya, mangsa tidak pernah berkunjung ke lokasi kejadian dan kebiasaannya, hanya bermain di sekitar kediaman mereka yang terletak berdekatan Pasar Manir.

"Bimbang juga sebab dia tidak pernah balik lewat macam ini, kebiasaannya jam 6.30 petang selepas bermain dia akan berada di rumah.

"Hari ini (semalam) saya tidak sihat dan selepas balik awal dari tempat kerja saya terus berehat.

"Saya pun tidak tanya sebab petang-petang memang waktu dia biasa bermain," katanya.