PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) berharap kerajaan akan meningkatkan geran serta fasiliti untuk automasi dan pendigitalan dalam Bajet 2023 bagi membantu mereka beralih kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) selain pulih daripada pandemik.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, pendekatan yang padu serta berstruktur diperlukan untuk menyokong PKS dalam automasi dan pendigitalan, yang mana, penyediaan geran akan membantu memperkasakan perniagaan mereka pasca pandemik.
"Kami berharap kerajaan akan meningkatkan geran untuk automasi dan pendigitalan melalui agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta SME Corp.
"Geran padanan diperlukan untuk melibatkan kepakaran dan mentor dalam membimbing PKS melalui proses pelaksanaan," katanya kepada Bernama.
Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing turut bersetuju sambil menjelaskan PKS memerlukan jentera berteknologi tinggi untuk automasi serta pendigitalan agar mampu berkembang dan berjaya dalam perniagaan.
"Fasiliti automasi ini penting bagi mengatasi kekurangan pekerja asing terutamanya dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
"Biasanya mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM5 juta pembiayaan, bergantung kepada jenis mesin dan kami mencadangkan kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan 100 peratus dengan faedah sifar untuk tempoh lapan hingga 10 tahun," katanya sambil memaklumkan sekarang ini, PKS hanya mendapat fasiliti pembiayaan sehingga 90 peratus dengan faedah 3.5 hingga empat peratus.
Dalam Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM100 juta dalam geran padanan automasi pintar kepada 200 syarikat pembuatan serta perkhidmatan manakala terdapat kemudahan pembiayaan disediakan oleh bank iaitu fasiliti automasi dan pendigitalan PKS.
Beliau berkata, tumpuan juga harus diberikan kepada langkah-langkah untuk meringankan aliran tunai PKS semasa pembentangan Bajet 2023 akan datang.
"PKS masih menghadapi aliran tunai yang sangat ketat dan saya fikir ideanya adalah penyediaan lebih banyak bantuan pembiayaan dengan faedah yang lebih rendah untuk mengurangkan beban mereka," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan bagi menawarkan moratorium kepada PKS tidak lama lagi, manakala Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berharap pihak perbankan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menyokong PKS yang benar-benar menghadapi kesukaran.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS berkembang sebanyak 1 peratus pada 2021, lebih perlahan daripada pertumbuhan KDNK Malaysia pada 3.1 peratus.
Sumbangan PKS kepada KDNK merosot kepada 37.4 peratus berbanding 38.1 peratus semasa 2020. Bajet 2023 akan dibentangkan di Parlimen menjelang 7 Oktober depan. - Bernama