KUANTAN - Seorang pemilik kebun mendakwa rugi RM3,700 apabila tujuh bakul durian yang dipesan daripada seorang pemborong gagal dihantar seperti dijanjikan.
Mangsa berusia 54 tahun dari Raub membuat bayaran itu sebagai sebahagian wang pendahuluan untuk empat bakul durian jenis Musang King gred A dan tiga bakul durian Jenis Udang Merah dengan harga keseluruhan RM11,000.
Bagaimanapun selepas bayaran pendahuluan dibuat, pemborong terbabit menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada pemborong tersebut 5 April lalu menawarkan pelabagai jenis durian gred tinggi dari Johor.
Menurutnya, mangsa mengenali pemborong itu dan meminta supaya menghantar tujuh bakul durian tersebut kepadanya.
"Mangsa diberitahu semua durian yang dipesan akan dihantar keesokkan harinya bagaimanapun pemborong terbabit meminta dia membayar wang pendahuluan RM5,000.
"Ketika itu mangsa hanya ada wang RM3,700 dan membuat bayaran melalui sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki yang diberikan suspek,” katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas sebahagian wang pendahuluan itu dibayar semalam, suspek sekali lagi menghubunginya meminta bayaran penuh atas alasan mahu guna wang kerana isterinya sakit.
"Bagaimanapun mangsa hanya akan membuat bayaran penuh selepas semua durian yang dipesan dihantar.
"Kira-kira jam 10 pagi hari yang sama, mangsa menghubungi suspek namun gagal dihubungi,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana syak ditipu.