Perhilitan pindah dua ekor gajah liar jantan

Iklan
Gajah liar yang dipindahkan dipindahkan di Kampung Peria, Kuala Krai akan dibawa ke Taman Negara, Terengganu. - Foto Perhilitan

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Kelantan berjaya memindahkan dua ekor gajah liar jantan yang didakwa merosakkan tanaman penduduk di Kampung Peria, Kuala Krai, sejak dua bulan lalu.

Operasi yang dilakukan pada Ahad itu melibatkan 26 kakitangan dibantu dua ekor gajah denak iaitu Kala dan Suria dari Pusat Konservasi Gajah Terengganu

Iklan
Iklan

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani memaklumkan, antara yang terlibat ialah kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, PKGK Terengganu dan Perhilitan Kelantan.

Menurutnya, Perhilitan menerima aduan berulang pada 5 September lalu berhubung kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk.

Iklan

"Kita menggunakan beberapa siri tindakan tembak halau bagi menghalau gajah liar kembali semula ke hutan simpan berhampiran tetapi tidak berhasil.

"Susulan itu, Jabatan Perhilitan menjalankan satu operasi memindahkan dua ekor gajah yang berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun," katanya.

Iklan

Tambah beliau, operasi diketuai Ketua Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perhilitan negeri Kelantan, Mohd Firdaus Hasbullah.

Beliau memberitahu, gajah liar itu akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negara Terengganu.

"Operasi terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk yang dianggarkan kira-kira RM60,000 selain memastikan keselamatan mereka," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Hafid memberitahu, gajah liar itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Rek dan populasi haiwan itu kini dianggarkan lebih 12 ekor.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan kumpulan gajah liar itu masih berada di sekitar kawasan perkampungan berkenaan.

"Antaranya ialah pengecilan kawasan habitat hidupan liar serta tarikan sumber makanan yang mudah diperolehi di kawasan kampung termasuk tanaman pisang," katanya.

Selain itu katanya, terdapat kebun yang bersemak samun menjadikannya sesuai sebagai habitat sementara atau laluan gajah liar.

"Tindakan tangkap pindah bukan penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan kebun penduduk berhampiran hutan simpan dan dipercayai dalam tempoh beberapa bulan lagi gajah liar lain dari kawasan hutan simpan berkenaan akan kembali ke kawasan kebun," katanya.