Peluang barisi kesebelasan utama seimbang: Dominic

Iklan
Dominic tekad memberikan aksi terbaik bagi memikat hati jurulatih untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya. - Foto FB FAM

PEMAIN pertahanan negara, Dominic Tan bersedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menjelang Piala Raja Thailand edisi ke-48 di Chiang Mai pada Khamis.

Dia juga merasakan peluang buat semua pemain pertahanan tengah untuk dipilih menyarung jersi negara adalah sama rata kerana kesemua mereka amat berbakat.

Iklan
Iklan

"Bagi saya semua pemain yang berada di sini adalah amat berbakat, jadi tiada masalah buat semua untuk menyesuaikan diri.

"Setakat ini sesi latihan berjalan agak baik dan kami sudah bersedia untuk perlawanan menentang Thailand nanti,” katanya.

Iklan

Skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan tuan rumah di Stadium Chiang Mai pada 22 September ini.

Satu lagi perlawanan menyaksikan skuad Trinidad & Tobago berdepan Tajikistan di venue dan tarikh yang sama.

Iklan

Jika berjaya menewaskan Thailand, skuad negara bakal mara ke pentas final dan sekiranya tewas, skuad negara bakal beraksi bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dominic juga tidak kisah beraksi di hadapan mana-mana penjaga gol sama ada Syihan Hazmi, Rahadiazli Rahalim atau Kalamullah Al-Hafiz.

Katanya, kesemua mereka berada dalam prestasi yang baik bersama kelab masing-masing dan yakin semuanya akan menampilkan aksi terbaik.

Dalam pada itu, beliau mengakui sokongan yang diberikan oleh penyokong Sabah FC ketika beraksi untuk kelab sedikit sebanyak membantunya meningkatkan prestasi.

"Penyokong Sabah FC memang terbaik. Selalu sokong jadi kami harap sokongan itu akan berterusan.

"Semua pemain yang berada di sini adalah berbakat, jika dipilih saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.