Nahas helikopter: Jabatan Forensik HRPB kecoh, media dakwa dikawal

Iklan
Petugas media dikawal pengawal keselamatan daripada menghampiri bangunan Jabatan Forensik, HRPB Ipoh.

IPOH - Pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin kecoh apabila kumpulan media dihalang menghampiri bangunan itu ketika membuat liputan proses tuntutan mayat juruterbang yang terkorban dalam nahas helikopter di Hutan Simpan Chikus, Bidor, minggu lalu.

Kira-kira 12 pengamal media yang menunggu untuk membuat liputan diarahkan supaya tidak menghampiri bangunan itu dan hanya dibenarkan berada di pagar jabatan tersebut.

Iklan
Iklan

Lebih mengejutkan, pengawal keselamatan mengekori petugas media yang mahu menggunakan tandas di blok terbabit.

Wartawan Astro AWANI Perak, Abd Razak Mohd Ali, melahirkan rasa terkilan dengan tindakan sedemikian hingga media dijaga lima pengawal keselamatan.

Iklan

"Kami memahami tugas semua pihak namun sekiranya dihalang, bagaimana media dapat melaporkan berita yang sahih dan telus.

"Aduan telah diajukan kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak hospital bagi mencari penyelesaian terbaik," katanya.

Iklan

Sementara itu, mayat juruterbang helikopter jenis Eurocopter telah dituntut oleh isterinya yang dikenali sebagai Leung sekitar jam 11.20 pagi.

Kata Leung, abu mayat mendiang Tsz Kin Richard Chan, 58, akan dibawa balik ke Hong Kong selepas upacara dijalankan di Ipoh.

Isteri mendiang dikenali sebagai Leung ditemui media di pekarangan Jabatan Forensik, HRPB Ipoh.

"Satu upacara akan dijalankan terlebih dahulu sebelum dibakar dan abu mayatnya akan dibawa balik," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di sini.

Leung yang menaiki Toyota Alphard bersama majikan mendiang bagaimanapun enggan mendedahkan butiran upacara dan pembakaran mayat yang akan dijalankan.

Sinar Harian melaporkan helikopter jenis Eurocopter EC120B yang dikendalikan Richard Chan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada 11 September lalu.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mangsa dari kawasan hutan berkenaan pada Isnin lalu selepas 22 jam helikopter berkenaan dilaporkan hilang.