Bajet 2023: Sektor pengguna bakal terima manfaat terbesar

Iklan

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengunjurkan sektor pengguna akan menjadi penerima manfaat terbesar dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada bulan depan.

Menurut bank pelaburan itu, seperti kelaziman saban tahun, beberapa berita baik boleh dijangkakan seperti bantuan tunai, bonus untuk kakitangan awam serta pelepasan cukai terutama dalam senario kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Iklan
Iklan

"Ini akan hanya meneruskan lagi sokongan terhadap perbelanjaan swasta dalam separuh kedua 2022 yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta seiring dengan peralihan negara ke fasa endemik.

"Kami juga menjangkakan kerajaan akan terus mengutamakan kebajikan segmen B40 menerusi pemberian subsidi dan bantuan kewangan,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Iklan

Selain itu, RHB IB mengunjurkan Bajet 2023 akan memberi penekanan terhadap automasi, teknologi dan kemampanan dengan usaha memacu pendigitalan dijangka positif bagi pihak seperti CTOS Digital, GHL Systems dan Revenue Group.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu tidak meletakkan harapan tinggi terhadap insentif utama bagi sektor hartanah susulan pengumuman kerajaan mengenai Inisiatif Pemilikan Rumah Keluarga Malaysia (i-MILIKI) pada Julai lepas.

Iklan

Bagi sektor pembinaan, RHB IB berkata, keadaan kewangan awam kekal terhad memandangkan nisbah jumlah hutang terhadap keluaran dalam negara kasar Malaysia pada 63.8 peratus setakat akhir Jun 2022 (berbanding 63.4 peratus pada Disember 2021).

"Sektor pembinaan berkemungkinan besar menjadi tajuk utama dalam senario menjelang pilihan raya umum kelak. Namun, ini mungkin lebih terarah kepada kontraktor kecil. Mungkin akan ada pengumuman mengenai projek-projek besar yang memerlukan pendanaan swasta,” katanya.

Merujuk automotif, RHB IB berkata, sektor tersebut diunjur menerima insentif dalam usaha mempercepat pengeluaran dan penggunaan kenderaan elektrik, termasuk berkaitan pembaharuan duti eksais akan datang.

Bajet 2023 juga dijangka menyaksikan peningkatan peruntukan untuk sektor penjagaan kesihatan, sebahagian besar hasilnya disalurkan untuk infrastruktur bagi meningkatkan kualiti selain memastikan kemampuan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.

RHB IB juga yakin belanjawan tahun depan itu akan terus memberi penekanan terhadap usaha peralihan tenaga dengan lebih banyak pendekatan bercirikan mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus akan diperkenalkan.

Pada masa sama, kalangan bank-bank diunjur untuk terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kami percaya Bank Negara Malaysia dan bank lebih cenderung ke arah bantuan bersasar dan bukannya moratorium menyeluruh untuk PKS," kata RHB IB.

Menurutnya, risiko makroekonomi kekal tertumpu pada trajektori dasar monetari, terutama dalam persekitaran geopolitik yang berkembang yang menyebabkan pelabur memperlahankan tindakan masing-masing untuk meneliti prospek aset-aset berisiko.

"Usaha pasaran bagi menerima prospek 2023 sebaliknya terus dibayangi oleh ketampakan yang terhad dan menyebabkan pelabur lebih berminat untuk memerhati. Berikutan itu, kami menjangkakan pendirian yang lebih bersifat defensif di peringkat asas.

"Secara menyeluruh, kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap bank-bank, institusi kewangan bukan bank, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, bahan asas, permainan dan teknologi,” katanya. - Bernama