Kelantan United FC waspada bertemu Kuching FA

Iklan
Che Abdullah mahu penyokong terus memberi sokongan kepada Kelantan United FC.

KOTA BHARU - Kelantan United FC perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, selaku tuan rumah ketika menentang Kuching FA dalam aksi Liga M3 malam ini.

Presidennya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pasukannya perlu bekerja lebih kuat bagi mengutip tiga mata untuk terus kekal berada dalam kelompok tiga teratas.

Iklan
Iklan

Kemenangan malam ini katanya, cukup penting untuk membolehkan Kelantan United FC mengekori rapat pendahulu liga, DDM FC dan Puchong Fuerza yang bakal bertemu sesama sendiri dalam perlawanan pada petang ini.

"Pasukan Kelantan United FC tidak boleh turun sambil lewa dan perlu tunjuk aksi terbaik malam ini kerana lawan kita bukan calang-calang pasukan.

Iklan

"Pasukan lawan masih belum tewas dan mereka hanya satu tangga di bawah kita dalam carta liga,” katanya.

Kelantan United FC kini menduduki tempat keempat dengan mengutip enam mata dari tiga perlawanan.

Iklan

Kuching FA pula mengutip enam mata dari dua perlawanan tetapi dibezakan dengan jaringan gol.

Sehubungan itu, Che Abdullah mengharapkan lebih ramai penyokong membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

"Sama-sama kita berikan sokongan kepada Kelantan United yang baru sahaja melakar kemenangan menundukkan pasukan Sabah dalam Piala FA baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah juga mahukan skuad kendalian Zahasmi Ismail memberikan tumpuan terbaik dalam baki perlawanan seterusnya.

"Perjalanan masih jauh dan harapan peminat bola sepak Kelantan cukup tinggi. Jangan hampakan mereka,” katanya.