KUANTAN - Penduduk di Kampung Batu Hitam merungut dengan mendakwa gangguan bekalan air berjadual berlaku lebih awal daripada tarikh dimaklumkan iaitu pada Selasa.
Penduduk mendakwa, belum sempat mereka menadah air, tekanan air sudah perlahan dan situasi itu menyebabkan mereka sukar membuat persediaan untuk menyimpan air bagi menghadapi gangguan bekalan sumber asas itu yang dikatakan selama 48 jam bermula pada Selasa.
Seorang jurutera teknik komputer, Afzainizam Zainuddin, 47, berkata, tekanan air di kawasannya didapati rendah pad petang Khamis lalu, sebelum gangguan bermula.
"Kami tidak sempat simpan air kerana masalah gangguan berlaku lima hari lebih awal dari jadual notis diterima. Dari Khamis sehingga hari ini, kami terpaksa bergantung kepada air tangki," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Hitam, pada Isnin.
Menurutnya, situasi yang berlaku tersebut merupakan paling kritikal pernah dialaminya walaupun sudah biasa menghadapi gangguan bekalan air.
Azli Abdul Rahman, 45, pula berkata, dia hanya sempat menyimpan beberapa tong air sebagai persediaan.
Katanya, susulan itu, wakil penduduk di kawasan terbabit menghubungi pihak Pengurusan Air Pahang Berhad ( Paip) pada Jumaat lalu bagi meminta bekalan air.
"Kami terpaksa minta bantuan pihak Paip kerana sudah berdepan dengan ketiadaan air sebelum 20 September (2022). Situasi ini menggusarkan penduduk yang tidak sempat menyimpan air.
"Saya difahamkan pihak Paip sudah membantu dan meletakkan tangki statik di setiap kawasan terjejas sejak Ahad lalu," katanya yang merupakan pekerja swasta.
Sementara itu, Hasmah Awang, 68, mencadangkan lori tangki diletakkan di lokasi yang dapat membantu memudahkan pengguna dalam kalangan warga emas.
"Misalnya saya yang sudah berusia tidak mampu untuk mengangkut air jika lokasi tangki air diletakkan terlalu jauh," luah Hasmah.
Duriyah Abdullah, 61, pula berkata, dia membuat simpanan air di dalam tong, baldi dan besen.
"Air dalam tangki sudah tidak mampu bertahan selepas lebih empat hari digunakan," katanya ringkas.
Sebelum itu, Paip menerusi satu kenyataan memaklumkan, gangguan bekalan air dijangka berlaku dalam tempoh dua hari bermula jam 8 pagi pada 20 September bagi menyiapkan kerja-kerja penyambungan paip air mentah secara pintasan di Mahkota Golf & Country Club (MGCC).