KUALA LUMPUR - Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bergerak ke arah sasaran Fasa 1 untuk mencapai 7.2 juta premis yang dilengkapi kebersambungan fiber dan liputan 4G sebanyak 95.82 peratus setakat 30 Jun,2022.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, dari segi kelajuan, ia telah mencatat purata 47.04 megabit per saat (Mbps), manakala medium pada 29.89 Mbps.
"Kami bekerjasama rapat dengan industri telekomunikasi (telco) dan pihak berkepentingan di peringkat negeri dan mendapat kerjasama yang tinggi dari segi menguruskan dasar dan birokrasi,” katanya pada sesi taklimat media dan penganalisis mengenai Laporan Jendela bagi suku kedua 2022 (April-Jun) secara maya pada Isnin.
Sasaran Jendela Fasa 1 adalah untuk mencapai sebanyak 7.5 juta premis dengan sambungan fiber pada kelajuan 35 Mbps dan 96.9 peratus liputan menjelang akhir tahun.
Ia mempunyai 4.96 juta premis yang diluluskan dengan sambungan fiber serta liputan 25 Mbps (purata) dan 4G sebanyak 91.8 peratus ketika inisiatif itu dimulakan pada Ogos 2020.
Mohd Ali Hanafiah berkata, pada awalnya, peruntukan kos untuk Fasa 1 berjumlah RM20 bilion, namun, meningkat kepada RM28 bilion pada tahun pertama pelaksanaan pada 2021 yang dibiayai inisiatif kewangan swasta (PFI) sebanyak 60 peratus, manakala selebihnya oleh kerajaan melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
"Pada masa ini, kerja yang masih belum selesai bagi Fasa 1 adalah pembinaan 1,661 tapak baharu di seluruh Malaysia untuk meluaskan liputan mudah alih 4G di kawasan luar bandar dan pedalaman. Tinjauan tapak telah dilakukan di kebanyakan tapak dan (kami) di peringkat untuk mendapatkan kelulusan daripada entiti negeri dan majlis tempatan.
"Satu lagi kerja yang belum selesai adalah melengkapkan sambungan gentian optik kepada 929,631 premis tambahan. Setakat ini, kita mempunyai 304,676 premis yang masih belum selesai (624,955 premis telah selesai),” katanya merujuk kepada pelan tindakan Jendela Fasa 2020-2022.
Menurutnya, bagi tempoh April hingga Jun 2022, penyedia perkhidmatan berjaya menyiapkan pembinaan 57 menara baharu 4G, melepasi sasarannya iaitu 52, pencapaian sebanyak 109.6 peratus.
Ia juga telah selesai menaik taraf 1,710 stesen pangkal berbanding sasarannya sebanyak 1,607 pada suku kedua 2022.
Bagaimanapun, 167,758 premis (atau 96.7 peratus) telah dilengkapi dengan sambungan fiber berbanding sasaran 173,508 pada suku kedua 2022.
Sementara itu, beliau berkata, MCMC telah menerima 40,863 aduan mengenai rangkaian melalui portal MCMC Aduan di antara 1 Januari 2022 dengan 30 Jun 2022, penurunan 66 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.
Ini berikutan jalur spektrum yang telah ‘diagihkan semula' untuk menyediakan 4G selepas perkhidmatan 3G ditamatkan sepenuhnya, selain lebih banyak tapak 4G baharu sedang disiapkan dan dinaik taraf, terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Mengenai keperluan 5G negara berbanding sambungan 4G yang stabil, Mohd Ali Hanafiah berkata, ia (5G) akan memanfaatkan industri berteknologi tinggi seperti perubatan serta minyak dan gas. - Bernama