ATLET Terengganu, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam berpuas hati dengan pencapaiannya memenangi tiga pingat emas bagi empat disiplin acara gimnastik artistik di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada Isnin.
Bagaimanapun, atlet berusia 21 tahun itu berkata, prestasi yang dipamerkannya pada Ahad adalah jauh lebih baik berbanding Isnin.
"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan ini, tetapi semalam (Ahad), rasanya lagi okey.
"Lagi pun hari ini (Isnin) sudah masuk peringkat final dan mungkin saya agak ‘gelabah’, dan sudah lama saya tidak terlibat dengan enam event (disiplin).
Sharul Aimy meraih emas bagi acara senaman lantai (berkongsi dengan atlet Pulau Pinang, Ng Chun Chen), kuda pelana dan melombol.
Selain itu, Sharul Aimy turut berjaya membawa pulang pingat gangsa bagi disiplin palang sejajar dan palang tunggal.
Mengulas perancangan selepas berakhirnya Sukma MSN 2022, Sharul Aimy berkata, akan terlibat dengan beberapa siri latihan setelah temasya itu selesai.
Katanya, latihan berkenaan dibuat sebagai persediaan untuk mengharungi beberapa kejohanan utama seperti Sukan Asia dan Sukan SEA 2023.
"Selepas Sukma ini, saya tidak ada masa untuk berehat kerana akan teruskan dengan latihan.
"Semua latihan ini sebagai persediaan untuk Sukan Asia dan Sukan SEA, selain kelayakan untuk Sukan Olimpik,” katanya.