Johor padu acara 4km kejar-mengejar berpasukan

Iklan
Pelumba berbasikal trek wanita berpasukan Johor bersama pingat emas diraih dalam acara team pursuit akhir Sukma MSN 2022 di Velodrom Nasional, Nilai pada Isnin.

PASUKAN berbasikal trek Johor mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menyapu bersih acara 4 kilometer (km) kejar-mengejar berpasukan Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di Velodrom Nasional Nilai pada Isnin.

Lebih manis, selain menghadiahkan pecutan emas, skuad wanita Johor dibarisi Khairunnisa Aleeya, Normastura Norman, Nur Syafika Natasya Kadir dan Siti Nur Adiba Akma Mohd Fuad cemerlang, apabila meleburkan rekod kebangsaan acara itu dengan catatan 4 minit 47.317 saat, memadamkan rekod terdahulu 4:57.898s yang dicipta pada Kejuaraan Berbasikal Asia 2018.

Iklan
Iklan

Pingat perak menjadi milik pasukan Terengganu selepas merekodkan masa 4:49.177s manakala Kedah di kedudukan ketiga dengan catatan 4:57.269s.

Mengulas mengenai perlumbaan itu, Siti Nur Adiba yang juga ketua pasukan berbasikal wanita Johor berkata, mereka sebelum ini memang menyasarkan untuk merangkul emas, namun tidak menyangka dapat mencipta rekod baharu kebangsaan.

Iklan

"Dengan pencapaian hari ini, saya yakin Johor mampu buat lebih baik pada Sukma akan datang," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Beliau berkata, kejayaan diraih skuad berpasukan itu turut menjadi pembakar semangat buat pelumba negeri itu untuk merangkul lebih banyak pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan acara berbasikal temasya sukan berkenaan.

Iklan

Sementara itu, skuad lelaki Johor turut mendominasi acara kejar-mengejar apabila gandingan Chan Jian Le, Mohamad Faizal Mohd Hata, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal menamatkan perlumbaan di kedudukan teratas dengan catatan 4:11.121s.

Namun masa direkodkan mereka hanya kurang dua saat untuk memintas rekod kebangsaan 4:09.600s yang dicipta pada Kejohanan Berbasikal Asia 2018.

Terengganu di kedudukan kedua dengan masa 4:15.323s, manakala gangsa dimenangi Perak (4:15.260s).

Skuad berbasikal Johor terus cemerlang apabila Muhammad Ridhuan Saharom meraih pingat emas dalam acara pecut lelaki, mengatasi Mohamad Fariz Haikal Mohamad Kadir dari Kedah di tempat kedua manakala rakan sepasukannya Mohamad Akmal Nazimi Jusena terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Acara pecut wanita pula menjadi milik pelumba kebangsaan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mewakili Kedah apabila mengetepikan cabaran wakil Pulau Pinang Nurul Aliana Syafika Azizan di kedudukan kedua, manakala pingat gangsa disandang pelumba Selangor Yong Ann Yi.