JOHOR kekal mendahului carta kutipan pingat Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila mengumpul 35 pingat emas, jauh meninggalkan kontinjen Terengganu yang memperoleh 19 emas di tangga kedua sementara Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga dengan 17 emas.
Lebih manis lagi pada hari ini, skuad berbasikal trek Johor yang memenangi pingat emas acara 4 kilometer (km) kejar-mengejar berpasukan wanita berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
Skuad berbasikal Johor dibarisi Khairunnisa Aleeya, Normastura Norman, Nur Syafika Natasya Kadir dan Siti Nur Adiba Akma Mohd Fuad, menyerlah selepas membuat catatan 4 minit 47.317 saat (s) mengatasi rekod kebangsaan 4:57.898s dicipta pada Kejuaraan Berbasikal Asia 2018 di Kuala Lumpur.
Dominasi berbasikal Johor diteruskan menerusi acara sama bagi kategori lelaki, apabila gandingan Chan Jian Le, Mohamad Faizal Mohd Hata, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal, muncul juara dengan mencatat masa 4:11.121s.
Dalam pada itu, di gelanggang gimnastik kelibat gimnas Pulau Pinang Ng Chun Chen dan gimnas Terengganu Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam mencuri tumpuan penonton selepas masing-masing seakan bersaing menunjukkan siapa yang mampu meraih lebih banyak pingat emas acara apparatus individu lelaki.
Kedua-dua mereka selaku atlet kebangsaan, Chun Chen meraih emas menerusi acara senaman lantai, gelang roman dan palang sejajar sementara Muhammad Sharul menerusi senaman lantai, kekuda berpelana dan melombol.
Aksi rebutan ibu segala pingat iaitu sukan bola sepak pula menyaksikan empat pasukan, iaitu Wilayah Persekutuan, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang mengesahkan slot pusingan separuh akhir selepas masing-masing menewaskan lawan mereka pada saingan lapan terakhir.
Pada pertemuan separuh akhir nanti, Wilayah Persekutuan dijadual menentang Terengganu sementara Selangor menentang Pulau Pinang.
Pada Selasa, sebanyak 43 pingat emas dipertandingkan dengan 10 daripada pingat mengambil tempat di Kompleks Sukan Air (KOSA), Putrajaya menerusi sukan kanu sementara lapan pingat ditawarkan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil menerusi sukan renang. - Bernama