KENINGAU - Sudah tiba masanya harga lantai getah sekerap di Sabah dinaikkan dari RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negeri ini.
Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, harga lantai bagi bahan itu ditetapkan sejak tujuh tahun lalu dan untuk mengekalkan harga itu pada masa kini adalah tidak adil kepada pekebun kecil.
"Masa telah berubah dan ada sebab untuk menaikkan harga lantai itu sekarang.
"Kita harus memastikan bahawa pekebun kecil kita boleh mencari rezeki, terutama pada masa kini apabila harga barangan termasuk makanan meningkat secara mendadak," katanya selepas menghadiri dialog antara Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan ahli Persatuan Pekebun Kecil Getah Keningau di sini pada Isnin.
Beliau berkata, selain menaikkan harga lantai getah sekerap, LIGS turut mencadangkan kaedah lain untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.
"Antaranya menanam tanaman lain seperti nanas, menternak haiwan ternakan seperti ayam dan meneroka peluang dalam industri lebah madu.
"Selain itu, peserta juga memohon agar kerajaan menaikkan subsidi kepada pekebun-pekebun kecil yang memerlukan," katanya.
Sehubungan itu, Jeffrey memaklumkan kementeriannya akan menangani perkara itu dengan kerajaan negeri dan Persekutuan agar dapat membuat keputusan yang lebih komprehensif.
"Saya ingin meyakinkan pekebun kecil bahawa kementeriannya sedar dan bersimpati dengan situasi mereka.
"Saya berpuas hati dengan dialog ini kerana tanpanya, kita hanya bercakap kosong tanpa berpeluang untuk membincangkan masalah dan halangan yang dihadapi," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa harga getah ditetapkan oleh pasaran dan bukan kementeriannya atau LIGS manakala naik turun harga juga turut ditentukan oleh tuntutan komoditi di pasaran global.
"Harga bekalan seperti racun perosak dan baja berada di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan bukan kementeriannya atau LIGS.
"Adalah penting bahawa faktor-faktor ini difahami agar tiada yang menyalahkan pihak lain atau fikir kementerian mempunyai kuasa tanpa had untuk meningkatkan atau menurunkan harga sesuka hati.
"Sekiranya terpulang kepada kami, pastinya kami akan mengawal harga dengan sewajarnya agar rakyat kita dapat memperoleh pendapatan yang lebih baik.
"Tetapi realitinya, semua harga dipacu oleh pasaran. Saya harap kita boleh berbuat lebih banyak.
"Malangnya, kita hanya boleh membantu melalui subsidi, bantuan kewangan dan bantuan teknikal. Itulah tanggungjawab kami dan kami akan terus menyediakan perkhidmatan ini," katanya lagi.