RM33.8 juta kerugian babitkan jenayah komersial

Iklan
Abdul Razak (kiri) penyampaian sijil penghargaan kepada anggota polis pada perhimpunan bulanan bagi bulan September 2022 anjuran JSJK Pahang di pekarangan IPK Pahang, Kuantan pada Selasa.

KUANTAN - Sebanyak RM33.8 juta kerugian direkod membabitkan jenayah komersial di Pahang bagi tempoh lapan bulan sejak 1 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, penyumbang utama peningkatan tersebut adalah melibatkan kes penipuan.

Iklan
Iklan

"Dalam tempoh lapan bulan, sebanyak 1,410 kertas siasatan dibuka berbanding 1,141 pada tahun 2021.

"Daripada jumlah keseluruhan 1,410 itu, sebanyak 1,334 kertas siasatan yang dibuka adalah berkaitan kes penipuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bagi bulan September 2022 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Iklan

Abdul Razak memaklumkan, JSJK telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada tahun ini kerana mencapai kejayaan melepasi sasaran tangkapan ditetapkan oleh JSJK Bukit Aman iaitu sebanyak 150 tangkapan.

Jelasnya, bagaimanapun JSJK Pahang melepasi sasaran sebanyak 154 tangkapan dalam Op Mule Khas yang dilancarkan semalam sebulan bermula pada 1 Julai lalu yang melibatkan semua daerah dan IPK Pahang.

Iklan

Selain itu, menurutnya, JSJK Pahang juga telah berjaya mencapai kadar pertuduhan yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan iaitu 40 peratus.

"Saya dimaklumkan JSJK Pahang telah mencapai 47.38 peratus dan menduduki tempat keempat di antara kontinjen PDRM.

"Ini menunjukkan kesedaran orang ramai perlu didedahkan lagi dengan trend-trend terkini kes kes jenayah komersil menerusi aktiviti-aktiviti yang berterusan," kata beliau lagi.

Sementara itu, Abdul Razak mendedahkan, polis telah merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM31.2 juta pada Januari hingga Ogos lalu.

Tambahnya, nilai rampasan ini meningkat sebanyak RM28 juta berbanding rampasan bernilai RM3 juta tempoh sama tahun lalu.

"Ini menunjukkan terdapat peningkatan terhadap rampasan yang dibuat dan ia perlu dipertingkatkan lagi operasi-operasi dari semasa ke semasa agar dapat dikurangkan jenayah narkotik ini," tegas beliau.