Isu sindiket tipu kerja dibincang mesyuarat kabinet esok

Iklan
Abdul Latiff pada sidang akhbar di kementeriannya yang turut disertai keluarga mangsa sindiket penipuan kerja dan beberapa NGO di Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA - Isu mengenai sindiket penipuan kerja melibatkan warganegara Malaysia akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menegaskan, kerajaan memandang serius mengenai isu melibatkan rakyat negara ini di beberapa negara ASEAN.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan saya untuk melihat perkara ini secara lebih mendalam.

"Perkara-perkara yang melibatkan individu-individu yang terdiri daripada pelbagai etnik, mereka semua rakyat Malaysia perlu diambil perhatian dan pendekatan yang serius

Iklan

"Saya kuat berpendapat, perkara ini akan dapat diselesaikan secara lebih holistik pada esok hari apabila dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kementeriannya yang turut disertai keluarga mangsa sindiket penipuan kerja dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di sini pada Selasa.

Iklan

Terbaharu, dilaporkan lima lagi rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air selepas terpedaya menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

Menurut Kementerian Luar, ia menjadikan bilangan kes mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan sehingga semalam adalah seramai 143 orang.

Tambah Abdul Latiff, pihaknya juga akan membawakan cadangan penubuhan satu jawatankuasa khas membabitkan sindiket pekerjaan serta jenayah rentas sempadan di peringkat ASEAN dalam mesyuarat kabinet.

Katanya, isu rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara yang dihadapi kira-kira 170 individu di Laos, Kemboja dan Myanmar ketika ini, memerlukan satu pendekatan menyeluruh.

Beliau dalam masa yang sama turut menyatakan terdapat negara-negara yang komited dalam membantu tentang sindiket penipuan kerja ini seperti Kemboja dan Laos.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga negara yang mempunyai masalah dalam membantu seperti Myanmar di samping mereka yang terkandas di negara berkenaan adalah di daerah Myawaddy.

"Kawasan Myawaddy sebahagian besarnya. Mereka belum dibawa balik tapi masih berkomunikasi dengan keluarga mereka,” ujarnya.