PERDAGANGAN Malaysia kekal kukuh pada Ogos 2022 dengan eksport meningkat 48.2 peratus kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-13 bulan berturut-turut, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
MITI dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, import melonjak 67.6 peratus kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM16.92 bilion.
Menurut kenyataan itu, perdagangan meningkat 56.7 peratus kepada RM265.74 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-19 bulan berturut-turut.
"Pertumbuhan eksport telah disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.
"Eksport keluaran petroleum, LNG serta barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
"Nilai eksport bulanan tertinggi telah dicatatkan ke Jepun. Perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing berkembang sebanyak 5.2 peratus, 5.4 peratus, 5.0 peratus dan 8.6 peratus,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, perdagangan meningkat 33.1 peratus kepada RM1.873 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Eksport telah melepasi RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan, jangka masa tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai nilai ini, berkembang 30.3 peratus kepada RM1.014 trilion.
"Import bertambah 36.7 peratus kepada RM858.83 bilion dan lebihan dagangan naik 3.7 peratus kepada RM155.57 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” kata kenyataan itu.
Menurut MITI, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2022, yang mewakili 84.5 peratus daripada jumlah eksport naik 47.7 peratus tahun ke tahun kepada RM119.48 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-13 bulan berturut-turut.
Kata kenyataan itu, pertumbuhan ini telah disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan dan setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion.
"Eksport hasil galian (7.6 peratus syer) melonjak 59.1 peratus tahun ke tahun kepada RM10.77 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-18 bulan berturut-turut disumbangkan oleh pertambahan eksport LNG dan petroleum mentah.
"Eksport keluaran pertanian (7.4 peratus syer) meningkat 42.6 peratus kepada RM10.47 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-17 bulan berturut-turut.
"Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” jelas kenyataan itu. - Bernama