KUALA TERENGGANU – Pas berpandangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu mengambil kira keselesaan rakyat yang akan turun mengundi.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan tidak harus menyusahkan rakyat dengan mengadakan PRU15 demi kepentingan parti politik semata-mata.
"Parti politik adalah medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat, jadi kita biarkan suasana ekonomi berkembang,” katanya selepas meninjau deretan kedai di Kampung Cina hangus dalam kebakaran di sini pada Selasa.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Pas tetap konsisten dengan pendirian supaya PRU15 diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir iaitu pada tahun depan.
Jelas beliau, pendirian parti berhubung perkara itu masih kekal.
"Setakat ini begitulah (Pas tetap mahu PRU15 selepas habis penggal) dan tidak ada perubahan lagi," katanya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, parti itu sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang begitu sinonim dengan musim banjir.