KUCHING - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyasar dapat mengagihkan 80 peratus peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia menjelang akhir November.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga Isnin, pihaknya telah menerima 350,000 permohonan dalam fasa satu dan dua dan jadual untuk penyerahan fasa satu sedang giat diatur.
"Untuk memastikan penerima dapat menerima peranti dalam masa yang cepat, kita akan proses permohonan secara serentak untuk permohonan fasa satu dan dua. Kita juga akan melakukan pelancaran secara berterusan.
Pada majlis itu, seramai 411 pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak, menerima peranti tersebut dalam sesi pengagihan peringkat Sarawak yang bermula Selasa.
Sebelum ini, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi K-KOMM, Hariaty Mohd Idrus dilaporkan berkata, sebanyak 105,665 permohonan PerantiSiswa telah diluluskan setakat 14 September.
Hariaty berkata, permohonan fasa satu dibuka bermula April hingga Mei, manakala permohonan bagi fasa dua dibuka pada 29 Ogos sehingga 30 September ini dengan sasaran keseluruhan 350,000 PerantiSiswa dapat diagihkan. - Bernama