JPJ Terengganu kutip RM974,500 lelong kenderaan sita

Iklan
Sebahagian kenderaan sita dilelong pada lelongan awam di JPJ Terengganu, di sini pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu berjaya mengutip sebanyak RM974,500 hasil lelongan awam membabitkan 58 kenderaan sita di negeri ini.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, jumlah tersebut diperoleh pada majlis pelupusan kenderaan sita secara lelongan awam bil 2/2022 yang diadakan di JPJ Terengganu, di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Zulkarnain, bidaan tertinggi adalah kereta jenis Honda Stream yang dibida pada harga RM32,500.

Beliau berkata, sebuah kereta jenis Kia Spectra tidak boleh dilesenkan menjadi kenderaan mendapat bidaan paling rendah iaitu RM300.

Iklan

Katanya, semua kenderaan dilelong itu adalah kenderaan telah dilucutkan hak melalui perintah mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Proses lelongan awam dilakukan adalah sangat telus dan memuaskan hati semua pihak termasuk pembida kerana mengikut tatacara seperti ditetapkan.

Iklan

"Ini merupakan lelongan awam kedua diadakan pada tahun ini melibatkan kenderaan sita dan wakil dari Jabatan Audit Negara turut hadir untuk memantau perjalanan sesi lelongan tersebut,” jelas beliau.