KUANTAN - Kerja menaik taraf jejantas pejalan kaki di Kampung Pandan 2 di sini mengalami kelewatan sebanyak lima peratus berbanding jadual sebenar.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, peratus kemajuan fizikal kerja naik taraf setakat ini sekitar 57 peratus.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan memaklumkan kelewatan berpunca daripada kerja-kerja merobohkan struktur binaan dalam kawasan rizab tanah kerajaan yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
"Selain itu, ia melibatkan pengalihan utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu kabel dan 'overhead' arah Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah. Saya dimaklumkan kontraktor sedang menunggu kabel untuk dihantar ke tapak dan ia memakan masa lapan hingga 10 minggu," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I menjelaskan, kelewatan kerja menaik taraf jejantas pejalan kaki itu juga disebabkan pengalihan utiliti Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).
Menurutnya, kerja itu melibatkan pengalihan paip mild steel (MS) bersaiz 150 mm arah Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah dan paip MS bersaiz 1200mm dari arah Indera Mahkota.
Bagaimapun katanya, memandangkan kos pengalihan melebihi siling projek, terdapat keperluan untuk membuat pindaan reka bentuk terhadap lukisan jejantas iaitu lokasi tangga bagi mengelak pengalihan utiliti Paip.
"Isu ketiga pula membabitkan pengalihan utiliti Celcom arah Indera Mahkota. Kerja pengalihan telah dijalankan bermula 26 Julai lalu, namun semakan awal pihak kontraktor mendapati pindaan lukisan tangga terkena pada jajaran pengalihan baharu Celcom," katanya.
Mohd Shahar berkata, beliau telah meminta pihak JKR supaya memastikan pelaksanaannya mengikut jadual yang telah dipersetujui bersama kontraktor.
Katanya, beliau memahami kesulitan yang dialami terutama ibu bapa yang menggunakan jejantas berkenaan untuk menghantar anak mereka ke sekolah sebaik sahaja projek itu berjalan.
"Saya mohon penduduk sekitar yang menggunakan jejantas ini untuk bersabar kerana kerja menaik taraf ini adalah untuk memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.
"Saya akan memantau dan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak JKR Kuantan bagi memastikan projek ini berjalan mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan," tegasnya.