Mölnlycke buka kilang ketiga di Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) pada Majlis Pelancaran Mölnlycke's Eco-Friendly Surgical Glove Plant di KHTP, Kulim pada Selasa.

SYARIKAT peneraju kelengkapan perubatan terkemuka dari Sweden, Mölnlycke membuka kilang ketiganya di Kedah melibatkan jumlah pelaburan sehingga RM233 juta.

Kilang baharu yang dibina di atas tanah seluas 29,164 meter persegi di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dijangka mampu menawarkan kira-kira 400 peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kehadiran Mölnlycke di Kedah sejak tahun 1990 dengan membuka sebuah kilang di Kulim telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 300 orang pekerja.

"Mereka kini menawarkan pekerjaan kepada lebih 2,500 pekerja di tiga kilang iaitu di Kulim sendiri, Kuala Ketil (Baling) dan kilang baharu di KHTP.

Iklan

"Kedah berbangga kerana menjadi lokasi kilang Mölnlycke yang baharu dan canggih, selain diiktiraf sebagai negeri yang menyediakan prasyarat yang tepat untuk pengeluaran sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi," katanya pada Majlis Pelancaran Mölnlycke's Eco-Friendly Surgical Glove Plant di KHTP, dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Duta Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergström; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Naib Presiden Operasi Mölnlycke Glove, Jean Christophe Guillou.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah terus memberi tumpuan untuk menarik pelabur ke negeri ini dan terbaharu meluluskan pembukaan satu kawasan industri baharu di Gurun berkeluasan kira-kira 404 hektar.

Menurutnya, kelulusan kawasan industri baharu itu dilihat mampu membantu membangunkan lagi ekonomi di Kedah.

Sementara itu, CEO Mölnlycke, Zlatko Rihter berkata, pembinaan kilang baharu di KHTP bertujuan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi selepas mendapat permintaan tinggi.

"Malaysia adalah pusat kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat global dalam bidang pengeluaran sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi. Mölnlycke bersedia untuk membekalkan produk berkualiti premium yang menjadi pilihan utama.

"Sokongan dan kerjasama yang sangat baik dengan pihak berkuasa di kawasan ini dan negara juga menjadi antara faktor kami terus berada di sini," ujar Zlatko.