Pegawai pertanian Risda didakwa terima rasuah RM22,300

Iklan

KOTA KINABALU - Seorang pegawai pertanian di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Daerah Keningau didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, pada Selasa atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM22, 300, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zainal Aliasan, 33, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Zainal didakwa memperoleh beberapa suapan daripada seorang individu bagi mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran melibatkan pejabat tersebut.

Dia dituduh memperoleh suapan itu yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank milik sahabatnya antara 2 Mei hingga 28 Julai 2020.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Hakim, Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Sementara itu, dalam mahkamah sama, Penolong Pegawai Penerangan, Sharif Ahmad Shah Mundui, 49, mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya antara Mei dan Oktober 2019.

Tertuduh, yang bertugas di Pejabat Penerangan Kota Marudu didakwa menyalahguna jawatan dan kedudukannya dengan mengarahkan kerani di di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara untuk mempelawa syarikat milik abangnya bagi melaksanakan beberapa projek pembekalan makanan.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, Kota Belud dan dituduh di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Hakim, Abu Bakar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua kes berkenaan akan disebut semula pada 27 Oktober depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. - Bernama