APA Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah dihadapi rakyat Malaysia yang menjadikan kerjaya sebagai tukang jahit persendirian sebagai sumber pendapatan.
Rata-rata mendakwa pendapatan mereka merudum berikutan kemerosotan permintaan pelanggan.
Lambakan jualan pakaian siap secara dalam talian yang lebih murah dan mudah antara punca orang ramai tidak lagi mendapatkan khidmat tukang jahit.
Ikuti laporan NORAWAZNI YUSOF yang menemu bual beberapa tukang jahit di Kuantan berhubung isu berkenaan.
Perubahan sains, teknologi dan komunikasi yang menggalakkan penjualan secara dalam talian merupakan satu perkembangan baik dalam negara.
Namun, sama ada disedari atau tidak, perkembangan tersebut memberi tamparan kepada mereka yang mencari sumber pendapatan sebagai tukang jahit persendirian.
Realitinya, anak-anak muda lebih menggemari pakaian yang sudah siap serta mudah dibeli secara dalam talian menyebabkan perkhidmatan tukang jahit tempatan kurang mendapat sambutan.
Bahkan, rata-rata tukang jahit dihimpit masalah kenaikan harga perkakas jahitan sekitar 10 hingga 30 peratus.
Rata-rata tukang jahit yang ditemui Sinar Harian di sekitar Kuantan bimbang apabila satu persatu kedai menempah pakaian ditutup, malah yang diusahakan di rumah persendirian juga gulung tikar disebabkan permintaan merosot teruk.
Salah seorang tukang jahit, Nor Amira Rahim, 24, yang menceburkan diri dalam bidang berkenaan sejak tujuh tahun lalu mengakui terpaksa menerima hakikat dengan masalah dihadapi.
Menurutnya, trend pembelian pakaian siap melonjak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, sekali gus memberi kesan kepada semua tukang jahit apabila tidak lagi mendapat tempahan.
"Kesan ini saya rasai sehingga sekarang apabila kehilangan 50 hingga 70 peratus pelanggan. Mereka mula beralih kepada pembelian pakaian melalui internet.
"Pelanggan berasakan pakaian siap terutama baju yang dijual dalam talian lebih murah berbanding menempah daripada tukang jahit.
"Ini yang menyebabkan sumber pendapatan kami merosot,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai miliknya di Tanjung Lumpur di sini pada Selasa.
Nor Amira yang dilahirkan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah menjelaskan, masalah mereka itu mungkin tidak dipandang oleh sesetengah pihak.
"Tapi kalau tiada tukang jahit, mungkin timbul masalah kepada sesetengah orang yang masih mahu membeli baju secara tempahan. Sebab itu kami cuba terus bertahan walaupun dalam keadaan agak sukar ketika ini,” luah Nor Amira.
Seorang lagi tukang jahit, Hasmira Rati, 47, berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup, tukang jahit terpaksa mengharapkan upah mengubah suai pakaian yang dihantar pelanggan.
"Setiap perkhidmatan ubah suai dikenakan caj RM10 hingga RM45 sehelai bergantung kepada permintaan pelanggan seperti memotong atau mengecilkan pakaian.
"Walaupun hasilnya jauh lebih kecil daripada tempahan membuat pakaian, sekurang-kurangnya dapat membantu menampung kehidupan saya sekeluarga,” katanya yang hampir 15 tahun dalam bidang jahitan.
Hasmira turut mengakui harga perkakas jahitan seperti benang, getah kain, span, jarum dan pelbagai alatan lain meningkat sehingga 30 peratus dan membebankan mereka.
"Saya dan tukang jahit yang lain ibarat menderita dalam senyap. Orang tidak tahu apa kami lalui. Bukan setakat bersaing dengan industri pakaian siap, tetapi berdepan kenaikan harga barang jahitan.
"Ini yang membuatkan tukang jahit tersepit. Bukan tidak mahu menaikkan harga tempahan tetapi kalau kami naikkan harga, pelanggan pula akan merungut dan lari,” katanya.
Pandangan sama dilontarkan Anita Mohamad, 48, yang menjalankan perkhidmatan menjahit di rumahnya di Kampung Kempadang Perdana, Kuantan sejak lebih 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, nasib mereka lebih baik jika dibandingkan dua tahun lalu ketika pandemik Covid-19 apabila langsung tidak ada punca pendapatan.
"Pelanggan yang datang pun sukar dijangka. Ada hari ramai, ada hari langsung tiada pelanggan.
"Tapi kebanyakan pelanggan datang hanya untuk mengubah suai pakaian mereka, bukan membuat tempahan,” katanya.
Kerajaan disaran sediakan bantuan modal, kursus percuma
Sementara itu, kerajaan perlu merangka inisiatif bagi membantu rakyat Malaysia yang menjadikan kerjaya tukang jahit sebagai sumber pendapatan agar terus bertahan pada masa akan datang.
Salah seorang tukang jahit berpengalaman, Nor Fatimah Che Heng, 48, berkata, inisiatif tersebut antaranya menyediakan bantuan kewangan kepada golongan berkenaan bagi memperkembangkan bidang diceburi.
Dia yang lebih 25 tahun terlibat dalam bidang jahitan berkata, menerusi bantuan itu, sedikit sebanyak dapat membantu tukang jahit yang kini berdepan risiko gulung tikar akibat kemerosotan pelanggan.
"Ramai tukang jahit berdepan kesukaran untuk meneruskan kerjaya mereka disebabkan kekurangan modal. Justeru, kerajaan perlu memberi sedikit bantuan kewangan dan alatan jahitan seperti mesin jahit bagi membantu mereka.
"Apabila adanya bantuan, tukang jahit dapat kembali memberi perkhidmatan mereka dengan lebih baik, di samping mampu bersaing dengan cabaran yang mendatang,” katanya ketika ditemui di kedai jahitnya di Tanjung Lumpur, Kuantan pada Selasa.
Ibu kepada tiga anak itu turut mencadangkan agar kerajaan dan agensi terlibat membantu meningkatkan pendapatan golongan tersebut dengan menawarkan lebih banyak kursus jahitan kepada mereka.
Menurutnya, ada segelintir tukang jahit tidak mampu mengeluarkan wang untuk mengikuti kursus kemahiran jahitan.
"Dengan kemahiran diperoleh nanti, secara langsung membantu mereka yang mereka cipta lebih banyak pakaian moden untuk dijual kepada pelanggan.
"Jika ada usaha begini, saya yakin tukang jahit dapat bersaing dan mereka juga mampu meneroka perniagaan secara dalam talian dengan jenama mereka sendiri,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan mengajar menjahit untuk orang ramai.