SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi Yayasan Felda menawarkan biasiswa berjumlah RM500,000 kepada 30 pelajar generasi baharu Felda untuk melanjutkan pelajaran di Les' Copaque Animation Academy (LCAA).
Inisiatif yang mendapat sokongan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh itu bermatlamat untuk meningkatkan mobiliti sosial warga Felda generasi baharu melalui pendidikan berkualiti.
Penyampaian tajaan biasiswa penuh ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Felda yang juga Ahli Jawatankuasa Akademik Yayasan Felda, Muhammad Fadzli Hasan dan Pengerusi LCAA, Burhanuddin Md Radzi di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris.
Muhammad Fadzli ketika ditemui pemberita berkata, ia merupakan kerjasama kali pertama di antara Felda dan LCAA yang menyediakan pengajian peringkat diploma dalam bidang Teknologi Animedia 3D dan Perniagaan Kreatif.
"Untuk pengambilan pertama ia melibatkan seramai 24 pelajar generasi baharu Felda. Sebelum ini kita turut melaksanakan program 'coding and robotics' dan 'smart classroom' selain memorandum persefahaman (MoU) dengan Asia Pasifik University (APU).
"Ini merupakan langkah susulan dalam usaha kami mengetengahkan bakat anakanak Felda," ujarnya.
Pelajar yang memulakan sesi pengajian di LCAA pada Selasa diberi pilihan sama ada ingin meneruskan pengajian dalam program Diploma Teknologi Animedia 3D berteraskan pembikinan produk animasi 3D atau Diploma Perniagaan Kreatif yang fokus kepada pengurusan perniagaan dan selok-belok industri kreatif.
Sementara itu, Burhanuddin berkata, pihak LCAA berbesar hati dan mengalu-alukan jalinan kerjasama berkenaan.
"Kami harap kerjasama ini akan memberi peluang kepada anak - anak Felda mengembangkan potensi dengan menceburi kerjaya dalam industri seperti pembikinan animasi dan juga perfileman," jelasnya.
Beliau berkata, gabungan pengalaman praktikal dan teori akan membekalkan pelajar berkenaan dengan kemahiran yang dapat menyediakan mereka dengan kehendak dan keperluan industri."LCAA telah merekrut pensyarah dengan pendidikan berkelas dunia untuk memajukan kerjaya mereka dalam industri kreatif sehingga ke peringkat antarabangsa," tambahnya.