SHAH ALAM - UMNO wajib menjawab beberapa persoalan penting sekiranya mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim banjir pada penghujung tahun ini, kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Kar Hing.
Menurut beliau, persoalan utama itu melibatkan pengurusan banjir dan perjalanan pilihan raya semasa tempoh tersebut.
"Jika musim banjir benar berlaku seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), UMNO wajib jawab berapa soalan. Pertama, adakah pusat mengundi ini akan dijadikan pusat pemindahan untuk mangsa-mangsa banjir jika banjir benar-benar berlaku?
"Ketiga, anggota keselamatan ditugaskan waktu PRU perlu menjaga kelancaran perjalanan pilihan raya atau turun padang selamatkan nyawa dan harta benda rakyat?” soal beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
MetMalaysia meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Kar Hing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai berkata, hanya orang tidak waras akan menyokong tindakan mengadakan PRU ketika waktu banjir.
"Kita juga faham naratif yang cuba dimainkan oleh BN dan UMNO adalah Pakatan Harapan takut kalah kalau PRU diadakan. Bagi saya ini bukan soal kalah atau menang, tapi soal kita pentingkan kuasa atau nyawa.
"Jumlah pengundi setakat Ogos 2022 adalah 21.1 juta berbanding dengan tahun 2018 hanya 14.9 juta. Susulan penambahan pengundi begitu banyak, pegawai dan pasukan terlibat dengan urusan pilihan raya sudah tentu akan tambah.
"Ini termasuk pusat pengundi juga akan tambah,” ujarnya.