KPT pastikan lebih banyak premis tersenarai dalam portal RSS

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF
PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus memantau pentadbiran Portal Rumah Sewa Siswa (RSS) bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai dengan kadar mampu milik bagi memenuhi keperluan pelajar menginap di luar kampus terutamanya bagi persediaan kemasukan Semester Akademik 1, Tahun 2022/2023.

KPT menyatakan dalam masa yang sama, pihak Universiti Awam (UA) menerusi Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) perlu terus menyantuni dan membantu pelajar yang berkeperluan mendapatkan penginapan di luar kampus.

"Pelajar juga dinasihatkan sentiasa berhubung dengan pihak UPLK di UA masing-masing bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam pencarian rumah, hal ehwal kontrak sewaan dan perundingan yang berkaitan.

"KPT dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia juga meneliti ketersediaan kapasiti penginapan pelajar di dalam dan luar kampus bagi mengoptimumkan keperluan pelajar yang semakin meningkat," menurut kementerian dalam kenyataan hari ini.

KPT memaklumkan inisiatif Rumah Siswa telah dilancarkan pada tahun lepas, yang turut merangkumi elemen penubuhan UPLK di semua UA dan pembangunan Portal RSS.

Menurutnya, setakat Isnin lepas, lebih 29,000 pelajar dari seluruh negara telah berdaftar bagi pencarian rumah sewa menerusi Portal RSS.

KPT memaklumkan Portal RSS, yang boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my, menyediakan platform bagi memudahcarakan usaha pelajar mencari dan mendapatkan kediaman rumah atau bilik sewa di sekitar kampus.

"Penyenaraian premis di dalam portal ini dilaksanakan oleh pegawai UA sendiri yang bertanggungjawab meneliti dan memastikan kediaman yang dikenal pasti adalah kondusif bagi penginapan pelajar dari aspek kadar sewaan, fasiliti yang disediakan dan keselamatan lokaliti premis," menurut KPT.

Kementerian menyatakan pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa pelajar, terutamanya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar luar kampus terpelihara.

"Justeru, KPT terus komited agar pelajar luar kampus sentiasa mendapat kediaman yang selamat, mampu milik dan kondusif menerusi capaian yang mudah dan pantas selari dengan aspirasi menjamin kesejahteraaan pelajar di institusi pendidikan tinggi," menurut kenyataan itu. - Bernama