Raja Permaisuri Perak rasmi Pusat Jagaan BebeLEC

Iklan
Tuanku Zara (kiri) berkenan menandatangani plak perasmian Pusat Jagaan BebeLEC di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan melancarkan buku panduan 'Adakah Sifat Pelupa Sesuatu Yang Normal?' dan merasmikan Pusat Jagaan BebeLEC di Jalan Lang, Padang Tembak di sini pada Rabu.

Baginda berkenan menandatangani plak sebelum melawat pusat berkenaan sambil diiringi Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak, Datin Seri Aezer Zubin.

Iklan
Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Pertubuhan Demensia Perak, Profesor Dr Esther Ebenezer.

BebeLEC mula beroperasi pada 20 Julai tahun lalu merupakan pusat demensia pertama dalam negara yang mempunyai taman terapeutik dan bilik rangsangan kognitif hutan maya.

Iklan

Esther berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap penyakit demensia atau dikenali sebagai nyanyuk adalah rendah.

Tuanku Zara menyaksikan aktiviti refleksologi yang disediakan Pusat Jagaan BebeLEC.

Menurutnya, buku yang disediakan persatuannya secara percuma boleh dijadikan panduan dalam mengenal pasti penyakit itu di peringkat awal.

Iklan

"Lupa biasa berlaku sekali sekala seiring dengan usia tetapi lupa luar biasa adalah menghadapi kesukaran untuk melakukan tugas harian seperti memandu, penggunaan telefon dan kesukaran pengambilan ubat-ubatan.

"Jadi ia penting untuk kita mendapatkan diagnosis tepat pada peringkat awal bagi mendapatkan rawatan untuk menangani gejala dan mengekalkan kualiti hidup," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kata Esther, kerajaan perlu membuat persediaan dengan peningkatan kelompok itu yang dijangka mencecah kepada 560,000 orang pada tahun 2030.

"Semua peringkat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menyediakan perancangan teliti dalam menghadapi negara menua," katanya.