Tze Yong sasar tembus kelompok 30 terbaik dunia

Iklan
Ng Tze Yong
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kini dalam misi untuk menembusi kelompok 30 terbaik dunia sebelum 2022 melabuhkan tirainya.

Pemain berusia 22 tahun yang menduduki ranking ke-36 itu yakin dapat mencapai sasarannya itu, sekiranya beliau mampu mara ke separuh akhir dalam siri kejohanan di Indonesia dan Eropah akan datang.

"Saya menarik diri daripada Terbuka Vietnam (dari 27 September hingga 2 Oktober) supaya mempunyai lebih banyak masa untuk berlatih dan berada dalam keadaan lebih baik. Saya hanya berharap peningkatan prestasi saya dapat dilihat dalam kejohanan seterusnya,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena di sini.

Tze Yong yang kini dalam mod penebusan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma), akan menyambung semula Jelajah BWF pada Cabaran Antarabangsa Indonesia dari 11 hingga 16 Oktober dan Masters Indonesia (18 hingga 23 Oktober), kedua-duanya dijadualkan berlangsung di Malang.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berharap dapat mara ke undian utama Terbuka Perancis dari 25 hingga 30 Oktober di Paris, sebelum beraksi di Terbuka Hylo dari 1 hingga 6 November di Saarbrucken, Jerman.

Terdahulu, atlet dari Johor itu yang menerima bye pada pusingan pertama, memulakan kempen Sukma dengan menewaskan Anson Cheong Yan Feng dari Perak 21-8, 21-15.

Menanti beliau dalam suku akhir ialah Chia Jeng Hon dari Pahang, yang mengecewakan seorang lagi pemain kebangsaan Lim Chong King dari Wilayah Persekutuan dalam pusingan pertama pada Isnin, sebelum mengalahkan pemain Sarawak Danny Lee Sheng Yee 21-13, 21-17 hari ini.

"Saya tidak memikirkan untuk memenangi emas, tetapi hanya fokus pada setiap perlawanan kerana saya mengambil setiap kejohanan untuk memperbaiki prestasi dan melakukan sehabis baik. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dengan memikirkan pemain lain,” kata Tze Yong yang tewas pada pusingan kedua semasa edisi Perak 2018.

Sementara itu, pilihan utama perseorangan wanita Eoon Qi Xuan yang mewakili Perak mengalami kekalahan mengejut 21-18, 17-21, 25-27 kepada Amanda Yap Hwa Leng dari Wilayah Persekutuan.

Pemain Selangor, K Letshanaa juga berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan Dyvylyn Saha Davincy Saha dari Perak 21-11, 21-19, akan bertemu bekas rakan sepasukan kebangsaan, Myisha Mohd Khairul dari Johor yang mengetepikan pemain Sabah Arena Satu Samin 21-18, 21-18.

Terdahulu dalam aksi beregu campuran, pemain negara, Tee Kai Wun-Toh Ee Wei membentuk gandingan yang patut dipuji untuk Melaka bagi menyingkirkan Muhammad Zharif Aniq Shahrul Annuar-Tan Mei Xin dari Perlis 21-7, 21-8.

Pasangan pilihan utama itu dijangka mara ke separuh akhir tanpa banyak masalah kerana mereka diundi untuk berdepan juara Lwi Sheng Hao-Carmen Ting Wei Wen dari Johor dan Ooi Jhy Dar-Cheng Su Hui dari Kedah. - Bernama