PENGENDALI Croatia, Zlatko Dalic mengesahkan bek kanan, Josip Juranovic bakal diturunkan pada aksi Liga Negara-Negara Eropah berdepan Denmark pada Jumaat.
Menurut Dalic, biarpun Juranovic dilihat tidak memiliki minit permainan yang mencukupi, namun dia dilihat sebagai calon yang bersesuaian bagi mengukuhkan benteng pertahanan pasukan.
Malah katanya, Juranovic juga bakal tersenarai dalam kesebelasan pasukan pada Piala Dunia 2022, Qatar penghujung tahun ini.
"Selain itu, kita juga ada seorang lagi calon, Josip Stanisic. Situasinya sama di mana Stanisic tidak memiliki banyak minit permainan bersama Bayern (Munich).
"Apa pun, kedua-dua pemain ini sememangnya akan berada dalam senarai utama Croatia apabila berdepan Denmark nanti,” katanya.
Untuk rekod, Crotia berada pada kedudukan kedua Liga Kumpulan A, dengan tujuh mata setelah mengharungi empat perlawanan setakat ini.
Mengulas aksi berdepan Denmark, Dalic berharap agar kesemua pemain dapat memberikan aksi terbaik bagi mencatatkan kemenangan.
Katanya, kemenangan tersebut sekali gus bakal melebarkan lagi, rekod tanpa kalah mereka pada saingan berkenaan.
"Saya harap kita mampu meneruskan momentum kemenangan ini dan sekali gus akan berpeluang untuk memintas Denmark,” katanya.