Terap budaya jaga kebersihan persekitaran

Iklan
Rizalman (tengah) bersama para sukarelawan di program World Cleanup Day di Pantai Batu Laut di sini pada Rabu.

KUALA LANGAT - Masyarakat perlu menerapkan budaya menjaga kebersihan ke mana sahaja mereka pergi bagi memastikan kawasan persekitaran terutamanya pantai kekal bersih.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Rizalman Mokhtar berkata, budaya tersebut cuba dipupuk menerusi penganjuran program World Cleanup Day 2022 untuk kali ketiga tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif tersebut selaras dengan objektif Dasar Kebersihan Negara untuk meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.

"Komponen utama dalam sambutan World Cleanup Day adalah aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa.

Iklan

"Manakala audit sisa melibatkan pengasingan sisa yang dikutip mengikut kategori bagi mengenal pasti trend dan jenis sisa paling banyak dibuang merata-rata," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program berkenaan di Pantai Batu Laut, di sini pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Rizalman berkata, seramai 200 sukarelawan terdiri daripada pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan penduduk setempat.

Ujar beliau, sebanyak 377 kilogram sampah berjaya dikutip di sepanjang Pantai Batu Laut, di sini meliputi pelbagai jenis sisa seperti plastik, kertas, lampin pakai buang dan lain-lain.

"Kita harapkan melalui program ini, ia akan menjadi satu budaya baru dalam kehidupan masyarakat untuk terus mengamalkan kebersihan sebahagian daripada hidup.

"Kita mahu masyarakat atau sukarelawan yang berdaftar dengan kita dan dianggap wira ini bukan sahaja membantu bersihkan kawasan, tapi bantu untuk menegur pihak suka membuang sampah di tempat tidak sepatutnya," katanya.

Program World Cleanup Day diadakan bermula dari 17 September sehingga 25 September 2022 di 328 lokasi didaftarkan oleh 284 agensi penganjur.

Rizalman berkata, ia melibatkan 408 aktiviti seperti membersihkan tempat rekreasi, pantai, tebing-tebing sungai dan lain-lain kawasan di tujuh buah negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Kedah dan Perlis.

Sasaran penglibatan para sukarelawan di seluruh dunia adalah sebanyak lima peratus populasi dunia.

Katanya, sehingga tahun ini, Sukarelawan Hero Kebersihan yang berdaftar adalah seramai lebih daripada 27,361 orang.

"Kita terbuka dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin bersama kita," jelas beliau.