LTAT, EDGE Group bekerjasama perkasa industri pertahanan

Iklan
Hishammuddin (dua dari kiri) menyaksikan MoU yang ditandatangani Ahmad Nazim serta Mansour di UAE pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada Rabu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan EDGE Group, sebuah konglomerasi 25 syarikat milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, MoU itu merangkumi penerokaan peluang kerjasama lebih erat LTAT dengan EDGE Group dalam menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan serta mengenal pasti potensi pelaburan bersama dalam bidang industri strategik dan pertahanan di Malaysia.

"Mewakili kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa bangga dan kagum melihat kesungguhan kerajaan UAE mengembangkan industri pertahanannya ke tahap yang sangat memberangsangkan.

Iklan

"Pemeteraian MoU ini menjadikan lawatan rasmi saya ke UAE bersama delegasi Malaysia ini amat bermakna berteraskan komitmen tinggi kerajaan Malaysia-UAE untuk memperkasa industri pertahanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, MoU berkenaan juga ditandatangani semasa Hishammuddin dan delegasi Malaysia dibawa melawat EDGE Group dan turut diberi peluang meninjau Tawazun Industrial Park, Zayed Military City di Abu Dhabi yang merupakan lokasi khusus untuk syarikat tempatan dan antarabangsa berkaitan pertahanan membangunkan produk mereka.

Iklan

Beliau berkata, hari kedua lawatan rasminya hari ini memberi tumpuan khusus terhadap usaha sama Malaysia-UAE demi memperkasa industri pertahanan.

"Lawatan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk mempelajari pendekatan UAE memacu industri pertahanan mereka, terutamanya menerusi Tawazun Industrial Park,” katanya.

Beliau berkata ia penting dan selari dengan perancangan kerajaan Malaysia memandangkan ketika ini Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan, yang sedang giat dirangka.

Hishammuddin berkata, antara teras DIPKN ialah mewujudkan Zon Industri Pertahanan berkonsepkan Tawazun Industrial Park, iaitu zon perindustrian yang ditubuhkan untuk membantu mengembangkan lagi keupayaan perindustrian UAE, terutamanya menyediakan pangkalan pembuatan untuk produk dan industri berkaitan pertahanan.

"Saya bersama delegasi Malaysia turut meluangkan masa melawat beberapa syarikat pertahanan tempatan termasuk NIMR, pengeluar kenderaan tentera perisai dan CARACAL, pengeluar senjata pistol, senapang dan sniper,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hubungan akrab Malaysia-UAE, kerjasama erat peringkat menteri, kementerian dan angkatan tentera masing-masing akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan lagi industri pertahanan Malaysia.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, lawatan rasminya ke UAE amat bermanfaat dan berjaya terutamanya dalam meningkatkan hubungan pertahanan Malaysia-UAE ke tahap lebih tinggi termasuk dalam konteks industri pertahanan.

"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada kerajaan UAE terutama Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Kementerian Pertahanan UAE atas layanan yang amat mesra sepanjang delegasi Malaysia berada di Abu Dhabi,” katanya. - Bernama