KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memberi peluang kepada golongan muda di negeri ini berhibur menerusi penganjuran Konsert Riuh Sokmo!, namun mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, penganjuran konsert di stadium mini Majlis Daerah Ketereh pada 16 hingga 18 September lalu sudah mengikut semua syarat ditetapkan dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 Kelantan.
"Antara syarat yang ditetapkan ialah hanya perlu melibatkan artis lelaki dan berpakaian tidak mencolok mata.
"Penganjur turut mengasingkan penonton lelaki dan wanita tetapi mereka tidak dapat menghalang penonton melompat dan berteriak dalam konsert itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Konsert Riuh Sokmo! melalui Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menampilkan artis terkenal tanah air termasuk Awie, Ramli Sarip dan Faizal Tahir.
Difahamkan, semasa konsert berlangsung sebahagian penonton terkinja-kinja dengan tidak dapat mengawal perasaan kerana mengikut rentak lagu.
Bagaimanapun Dr Izani berkata, lesen konsert itu bukan di bawah bidang kuasanya.
Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri tidak mempromosikan hiburan tetapi konsert berkenaan akan membantu menambah baik enakmen sedia.
"Saya tidak menghadiri konsert itu tetapi dimaklumkan keadaan terkawal," katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak mempunyai masalah dengan komen negatif yang dilemparkan netizen di media sosial dan berpendapat ia antara cara kerajaan mengajak anak muda kini untuk bersama mendengar nasihat daripada pemimpin sebelum konsert bermula.
Sementara itu, menurut Astro Awani, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang berlaku di konsert berkenaan mengecewakan kerajaan negeri, apa lagi berlaku di Kelantan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak berhasrat mengharamkan konsert di negeri yang juga dikenali sebagai Serambi Mekah, sebaliknya garis panduan yang lebih ketat akan dikenakan.
"Jika semua syarat yang ditetapkan sudah dipatuhi...reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Saya rasa perkara ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian," katanya.
Pada masa depan, Mohd Amar berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memastikan setiap konsep persembahan atau lagu-lagu dipilih dengan dengan lebih cermat.
Mohd Amar berkata, tindakan penonton terkinja-kinja tempoh hari dianggap sebagai satu kesilapan dan meminta supaya ia perbetulkan pada masa akan datang.
Sehubungan itu, kerajaan Kelantan, tegas Mohd Amar, akan melihat kembali syarat-syarat kebenaran mengadakan konsert dan persembahan di negeri ini termasuk pemilihan lagu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi di masa depan.