SHAH ALAM - Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak kerajaan agar memberikan maklum balas dan penjelasan berhubung mesej tular membabitkan layanan diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam penjara.
Dakwa beliau, kenyataan Jabatan Penjara Malaysia mengenai keberadaan Ahli Parlimen Pekan itu di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi mendapatkan rawatan secara tidak langsung mengesahkan dakwaan dibuat menerusi mesej tular berkenaan.
"Di dalam mesej tular itu turut menyebut pihak penjara mendapat kelulusan segera RM50,000.00 untuk menaik taraf bilik penjara Najib dan kemudiannya tambahan RM3.5 juta lagi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi urusan kenderaan, kesihatan dan penempatan.
"Saya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memberi maklum balas serta penjelasan adakah benar perkara ditularkan mesej berkenaan sedang berlaku?
"Apakah Najib, seorang banduan yang sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kajang masih tetap dilayan seperti seorang VIP serta segala kehendak dan kemahuan beliau sedang dituruti?” soal beliau menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Mesej tular baru-baru ini mendakwa Najib yang dijatuhi hukuman hukuman penjara 12 tahun dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd menggunakan pelbagai tipu helah untuk tinggal di hospital bagi mendapat kemudahan bertemu keluarga dan melakukan rencana politik.
Pada masa sama, Shamsul turut mendesak Jabatan Peguam Negara agar menyiasat serta mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Penjara Malaysia berkaitan perkara tersebut.
"Saya merayu agar rakyat tidak diperbodohkan dan wajar dimaklumkan perkara sebenar dengansegera kerana keadilan haruslah ditegakkan dan tidak mengenal siapa sahaja.
"Setiap pesalah harus menjalani hukuman seperti ditetapkan. Jangan nanti sampai rakyat membilang berapa hari sebenarnya Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang dan berapa hari pula bersenang-lenang dengan katil empuk di bilik hospital yang di ubah suai bagi memuaskan kehendak nafsu beliau,” ujarnya.