Empat wilayah Ukraine sepakat buat referendum sertai Rusia

Iklan
Penduduk Crimea yang dirampas Moscow pada 2014 menyertai demonstrasi menyokong operasi ketenteraan Rusia di Ukraine. - Foto AFP

DONETSK - Empat wilayah Kiev yang dikuasai Moscow bakal mengadakan referendum untuk menyertai Rusia ketika tentera Ukraine semakin memperhebatkan serangan balas untuk merampas semula kawasan yang telah diduduki sejak lebih enam bulan lalu.

Pihak berkuasa pro-Rusia di wilayah timur Donetsk dan Lugansk, wilayah selatan Kherson dan Zaporizhzhia pada Selasa memaklumkan proses pungutan suara itu akan diadakan selama lima hari bermula Jumaat ini sehingga Selasa depan.

Iklan
Iklan

Ketika ini, wilayah-wilayah tersebut berada di barisan hadapan operasi serangan balas Ukraine setelah ia berjaya menguasai semula ratusan bandar dan perkampungan yang ditawan Moscow sebelum ini.

Difahamkan, sebahagian besar kawasan perindustrian Donbas yang meliputi Donetsk dan Lugansk telah berada di bawah kawalan puak pemisah disokong Kremlin sejak tahun 2014 setelah Semenanjung Crimea dirampas Moscow.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, pengendali nuklear Ukraine, Energoatom pada Rabu mendakwa Rusia sekali lagi membedil kompleks nuklear Zaporizhzhia di wilayah selatan negara itu.

"Serangan itu memusnahkan talian kuasa di kemudahan itu dan menghentikan operasi beberapa pengubah reaktor No.6 serta memaksa penggunaan generator kecemasan,” ujarnya menerusi Telegram sambil menambah paras radiasi bagaimanapun kekal normal dan tidak berlaku pembebasan radioaktif yang membahayakan. - AFP

Iklan