Calon muda UMNO bertanding di Pagoh?

Iklan
Razali sebelum ini disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Pagoh.

MUAR - Kerusi Parlimen Pagoh yang kini disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin terus panas apabila UMNO dikatakan akan meletak calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan tersebut sekali gus dilihat tidak menepati pendirian UMNO Johor sebelum ini yang menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Muhyiddin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Iklan
Iklan

Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Pagoh, Mohd Idzharruddin Mohd Nasiruddin berkata, difahamkan calon UMNO itu bukan Ketua Bahagian UMNO Pagoh, Ismail Mohamed yang kalah bertanding di kerusi tersebut pada PRU14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

"Amatlah kasihan kepada Ismail yang telah kalah dan gagal dua kali sebagai calon sehingga terpaksa memberi laluan kepada orang lain untuk diangkat sebagai calon," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

UMNO Bahagian Pagoh dalam mesyuarat perwakilannya pada 2 Januari tahun lalu menolak keputusan UMNO Johor sebelum itu yang sedia memberi laluan kepada Muhyiddin bertanding semula di Pagoh.

Bagaimanapun sehari selepas itu, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, UMNO Johor kekal dengan pendirian mahu memberi laluan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu meskipun tidak dipersetujui UMNO Bahagian Pagoh.

Iklan

Terbaharu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Pagoh dan Muhyiddin menyatakan akan mempertahankan kerusi itu dan sedia ditentang sesiapa sahaja di Parlimen Pagoh.

Sementara itu, Mohd Idzharruddin menyangkal dakwaan Ismail yang mendakwa banyak perkara yang 'tidak selesai' sejak Muhyiddin menjadi Ahli Parlimen Pagoh sekali gus menyifatkan tuduhan itu sebagai serangan politik secara semberono.

"Suka untuk saya mengajak rakyat di luar sana terutama orang UMNO untuk datang ke Parlimen Pagoh dan lihat sendiri kejayaan pembangunan yang telah berlaku sejak Tan Sri Muhyiddin menjadi ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata, antara menjadi mercu tanda Pagoh adalah Hab Pendidikan Tinggi Pagoh atau Bandar Universiti Pagoh dengan kemudahan yang baik selain pembangunan berpandukan konsep 'rural urbanisation'.

"Ini termasuk Zon Ekonomi Khas Pagoh yang bakal mengetengahkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dan menjadi 'game changer' bagi daerah Muar. Persoalan saya, apa pula yang sempat Ismail lakukan ketika menjadi wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri," soalnya.