Anak Mirnawan rangkul emas silat Sukma MSN 2022

Iklan
Mirsha (tengah) bersama Mirnawan dan Haryati selepas memenangi pingat emas dalam acara sukan silat akhir kategori solo kreatif pada Sukma MSN 2022 di Stadium USIM pada Rabu. - Foto Bernama

KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Demikian perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap anak legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, Mirsha Nurathiqa selepas turut melibatkan diri dalam dunia sukan tanah air.

Iklan
Iklan

Biarpun tidak mengikut jejak langkah bapanya, Mirsha Nurathiqa tetap membanggakan Mirnawan serta keluarga mereka selepas merangkul emas acara silat seni kategori solo kreatif putri dalam penampilan pertama pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di Nilai, pada Rabu.

Aksi diperagakan pesilat Selangor berusia 20 tahun itu yang mengawal kemas keris, tongkat dan parang kembar berjaya memikat hati juri untuk menobatkannya sebagai juara dengan mengumpul 9.925 mata, mengetepikan pencabar terdekat, Nur Inatha Khairuniyah Wira dari Kedah yang mengumpul 9.910 mata untuk pingat perak.

Iklan

Mirsha berkata, kehadiran Mirnawan, 51, dan ibunya, Datin Haryati Zahriman, 49, membakar semangatnya untuk menampilkan persembahan yang meyakinkan di atas gelanggang dalam acara berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

"Saya memang tak sangka langsung menang hari ini kerana peserta lain juga buat yang terbaik namun kuasa dan rezeki dari ALLAH SWT (beri kemenangan) saya bersyukur sangat," katanya ketika ditemui pemberita.

Iklan

Ditanya sama ada beliau bersedia menyertai skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang kelak, pelajar tahun ketiga jurusan pembinaan dari Universiti Islam Antarabangsa itu enggan memikirkannya buat masa ini kerana mahu menumpukan kepada pelajarannya selepas ini.

Sementara itu, Mirnawan ternyata gembira dengan kejayaan anaknya kerana pengorbanan yang dilakukan anaknya sejak bergiat aktif dalam silat pada umur 15 tahun akhirnya membuahkan hasil.

Ditanya perasaannya apabila Mirsha tidak menceburi sukan hoki seperti dilakukannya, bekas ketua pasukan skuad negara itu tidak kisah dengan keputusan diambil anaknya kerana apa yang penting 'puterinya' tetap aktif dalam dunia sukan.

Dalam pada itu, Maisarah Zainal dari Perlis dan Nur Fauza Hidayah Abd Rahim dari Negeri Sembilan meraih gangsa selepas tewas kepada lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Kategori solo kreatif putra pula menyaksikan Shahir Azizi Aminudin dari Melaka mengumpul 9.920 mata untuk menundukkan lawan dari Terengganu, Che Mohamad Fikri Che Ab Rahman yang meraih 9.425 mata bagi pingat perak.

Pingat gangsa pula dimenangi oleh Muhammad Syamim Asyraf Zaidi dari Selangor dan pesilat Negeri Sembilan, Muhammad Firdaus Yaakop.