PEMBENTANGAN bajet sentiasa menjadi tumpuan rakyat setiap tahun namun Bajet 2023 pastinya lebih mencuri tumpuan kerana ia merupakan bajet terakhir sebelum diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 28 Oktober diawalkan pada 7 Oktober, ramai yang menduga tarikh PRU15 juga semakin hampir.
Manakan tidak, pembentangan penting itu diawalkan tiga minggu dari tarikh jadual asal seolah-olah memberi petunjuk bahawa sesuatu yang besar dan penting bakal berlaku tidak lama lagi.
Ada beberapa aspek yang menjadi perhatian kini, iaitu inti pati bajet yang tentunya ibarat ‘gula-gula manis’ untuk menawan hati rakyat agar kerajaan yang diterajui pemimpin dari pada UMNO tetap menjadi pilihan.
Perkara kedua yang menjadi debaran adalah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka tidak akan berlaku secara serentak.
Biar apa pun situasinya, realitinya inilah pembentangan bajet yang terakhir sebelum diadakan PRU15 walaupun tarikhnya belum diumumkan.
Sebagai kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Barisan Nasional (BN), kesepakatan amat penting ketika ini untuk menawarkan bajet paling realistik tatkala ketiga-tiga parti berkenaan sebenarnya ‘tidak lagi mesra’ ibarat retak menanti belah.
Namun aspek itu perlu diketepikan seketika bagi memberi tumpuan kepada inti pati bajet yang diharapkan rakyat.
Rakyat pastinya menjadikan Bajet 2023 sebagai penentu untuk memilih kerajaan pada PRU15.
Rakyat mahukan politik yang stabil, bukan lagi huru-hara atau ‘pintu belakang’. Kestabilan politik penting dalam memakmurkan negara khususnya menjaga kebajikan rakyat.
Rakyat sudah muak dengan gelodak politik yang menyaksikan negara bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal.
Rakyat kini sudah bijak menilai mana batu mana permata, jadi tak usahlah terlalu berpolitik sehingga mengabaikan kepentingan rakyat yang seharusnya ditransformasikan dalam bentuk bajet yang dinanti-nantikan.
Tugas kerajaan kali ini lebih mencabar untuk tawarkan bajet terbaik untuk rakyat disebabkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, peningkatan sara hidup yang melonjak saban tahun selain kenaikan harga barangan.
Walaupun kerajaan tegaskan kos sara hidup masih terkawal seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 4.7 peratus setiap tahun, keadaan ini sukar diterima kebanyakan rakyat berikutan keupayaan mereka untuk berbelanja seharian semakin terhad.
Oleh itu, Bajet 2023 harus merangkumi semua golongan masyarakat dan bukannya golongan terpilih sahaja. Golongan yang kini layak mengundi secara automatik juga perlu diberikan perhatian agar undi mereka memihak kepada kerajaan.
Sekiranya ada golongan diabaikan, tidak mustahil undi mereka akan beralih kepada pembangkang atas rasa kecewa.
Selain inti pati bajet yang memerlukan elemen ‘wow’ dan adil, kerajaan kini berdepan dilema berhubung pembubaran DUN.
Dijangkakan hanya tiga negeri yang pasti akan bubarkan DUN dan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya Parlimen dibubarkan pada tahun ini, iaitu Perlis, Perak dan Pahang.
Ia susulan pendirian Pas yang mengumumkan tiga negeri yang ditadbir parti itu, Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan bubar DUN lebih awal sebelum Mac 2023.
Manakala negeri bawah Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga mengesahkan tidak akan bubarkan DUN pada tahun ini.
Ini bermakna, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam waktu terdekat, hanya tiga negeri dan kerusi Parlimen sahaja akan dipertandingkan berikutan Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor sudah pun mengadakan PRN masing-masing.
Benarlah bagai dikata, tahun ini adalah paling mencabar untuk kerajaan merangka bajet terbaik sebelum mempertaruhkan kedudukan kerajaan sedia ada untuk diadili dalam PRU15 akan datang.
Sehubungan itu, bukan sahaja kerajaan perlu lebih bersedia dan berhati-hati dalam sebarang keputusan, rakyat juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan demi masa depan yang lebih baik.
* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara