Jawatankuasa khas ditubuh tangani kes sindiket tipu kerja

Iklan
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mesyuarat jemaah menteri pada Rabu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes-kes sindiket penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Iklan
Iklan

"Saya juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar untuk mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkenaan pada 22 September (hari ini)," katanya.

Saifuddin yang kini berada di New York bersempena Sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sedang memangku tugas Menteri Luar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta seluruh jemaah menteri yang meneliti dan membincangkan isu berkenaan.

Iklan

Pada Isnin, beliau mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama duta-duta dan kuasa usaha sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam bagi mempersiapkan nota mesyuarat untuk diterangkan oleh Abdul Latiff dalam mesyuarat jemaah menteri.

Tambahnya, kerajaan melalui Kementerian Luar serta perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara terus komited dalam memperkasakan usaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Iklan

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan berasingan pada Rabu malam berkata 15 lagi mangsa sindiket warganegara Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa pulang pada Selasa.

Mereka tiba di klia2 melalui penerbangan AK 535 dari Phnom Penh pada pukul 11.50 malam.

Sehingga Rabu, katanya, jumlah keseluruhan laporan yang diterima kementerian membabitkan empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand adalah sebanyak 301 kes.

"Daripada jumlah itu, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air," katanya.

Selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan, kata Kementerian Luar. - Bernama