PUTRAJAYA - Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan beliau akan memastikan beberapa tugasannya sebagai Menteri Kesihatan diselesaikan sebelum Parlimen dibubarkan.
Menurutnya, langkah tersebut bagi memastikan segala dasar dan perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjalan dengan baik.
Khairy berkata, sekiranya tugas itu tidak dapat disiapkan sepenuhnya sebelum pembubaran Parlimen, ia akan ditinggalkan dalam keadaan baik agar dapat diserahkan kepada bakal Menteri Kesihatan untuk diteruskan.
"Pegawai kanan KKM yang akan mengambil alih menerajui kementerian selepas Parlimen dibubarkan perlu bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan sebelum menteri baharu dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Dalam tempoh kita bubar Parlimen setiap kementerian akan meneruskan perkhidmatan secara 'autopilot' yang diketuai oleh ketua setiausaha kementerian dan sebagainya, jadi daripada sekarang perlu bersiap sedia.
"Kalau saya pura-pura (pretend) bahawa PRU15 tidak akan berlaku, maka pegawai tak reti, jadi kita kena buat segala persiapan mulai sekarang," katanya.
Beliau menegaskan, demi masa depan seluruh rakyat Malaysia, Kertas Putih Kesihatan perlu diteruskan.
"Kalau saya sudah tidak ada contohnya bulan November atau Disember, apa yang berlaku kepada Kertas Putih?" soalnya.
Khairy turut menjelaskan sebab beliau mengambil sikap untuk kurang bercakap mengenai isu politik sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.
"Dalam keadaan pandemik, Menteri Kesihatan haruslah fokus soal kesihatan.
"Kalau banyak komen fasal politik, kredibiliti KKM itu sendiri akan terjejas kerana rakyat nampak menteri asyik bercakap politik sahaja.
"Bagi saya, saya memilih untuk kurangkan bercakap (politik) sehingga tiba waktu pembubaran Parlimen," katanya.
Menyentuh mengenai tatacara pengurusan Covid-19, beliau berkata, pengalaman negara mendepani pandemik itu mesti diinstitusikan agar kementerian berada dalam keadaan siap sedia sekiranya muncul pandemik baharu di masa akan datang.
"Pengalaman pandemik adalah sangat berharga dan perlu diinstitusikan kerana pegawai yang berada di KKM sewaktu pandemik suatu hari nanti akan bersara.
"Saya pun mungkin tidak lama lagi tidak akan berada di sini," katanya.
Katanya, langkah itu sebagai asas kepada pegawai kementerian pada masa akan datang.
"Jika berlaku pandemik akan datang kita sudah tahu tatacaranya seperti bagaimana kerajaan hendak berkomunikasi dengan rakyat, apakah langkah-langkah perlu dibuat dan pengajaran yang boleh diambil," katanya.
Kertas Putih Kesihatan akan memberi tumpuan kepada pembaharuan yang paling asas untuk menangani cabaran sistemik dan struktur utama yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan, bukan penyakit tertentu atau individu kumpulan demografi.
Ia dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini.
TAMAT