SEPANG - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air selepas lawatan khas enam hari ke United Kingdom (UK), bermula 16 September lepas.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 11.30 pagi tadi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan melintasi barisan Kawalan Kehormatan Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Ammar Badrul Zaman.
Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.
Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun.
Jasad Ratu Elizabeth II dimakamkan pada 19 Sept bersebelahan makam suaminya Duke of Edinburgh, Putera Phillip di Gereja Memorial King George VI.
Dalam rangka lawatan khas itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura Halimah Yacob di Hotel InterContinental Park Lane, London pada 18 Sept.
Semalam, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melakukan kunjungan hormat dan bertemu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Brunei, London. - Bernama