SHAH ALAM -"Kalau sampai sultan beri peringatan ia bermakna masalah rasuah di negara ini cukup parah, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim.
Adam Adli menegaskan bahawa rasuah adalah perbuatan yang memalukan serta merosakkan imej negara.
"Dalam bahasa lebih mudah kalau sampai seorang sultan nak kena peringatkan orang politik tentang jangan makan rasuah, saya rasa memang betul kita sekarang ini sudah berada dalam keadaan cukup parah.
"Takkanlah kita nak tunggu sultan beritahu jangan makan rasuah baru nak berhenti amalkan rasuah.
"Saya kira juga peringatan seperti ini bukan dengar dari atas tetapi kita perlu juga dengar dari bawah. Ramai rakyat susah, terkesan dan terjejas akibat rasuah selama ini dan apabila mereka beritahu dari dulu lagi nak pemimpin baik, bebas rasuah tapi tak didengari," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.
Mengulas mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan pelancaran buku itu, Adam Adli berkata, ia menyampaikan mesej yang baik kepada semua pihak.
"Jadi dalam erti kata lain, ini melihat kepada individu yang diangkat, ruang parti politik itu macam mana, apa pegangan, apa tindakan, apa respons dia, apa pendirian parti tersebut ke atas perbuatan rasuah atau korupsi.
"Jadi itu perkara yang saya kira dalam Keadilan itu sentiasa dititikberatkan selain ia suatu perbuatan memalukan untuk dekati perbuatan rasuah.
"Kita tahu bahawa memang kita juangkan pembaharuan (reform) dan ini harus balik kepada soal pokok, soal-soal asas termasuklah soal ketirisan rasuah dan sebagainya," jelasnya.