Buku 'Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu' perlu disebar

Iklan
Sultan Nazrin berkenan melihat buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika yang turut dijual di Karangkraf Mall.

SHAH ALAM - Kandungan buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika perlu disebarkan ke setiap kota, mukim dan desa dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ia supaya mesej buku nukilan tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan itu dapat benar-benar sampai kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

"Melalui buku yang dihasilkan, Mohd Kamal Hassan menyeru akan pentingnya dibina kekuatan dalaman iaitu kekuatan rohani untuk memerangi rasuah. Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu ini tidak akan mencapai tujuannya jika sekadar ditulis, diterbitkan, dilancarkan, dibeli dan diedarkan.

"Buku ini perlu dikembari dengan usaha bersungguh, berterusan dan berskala besar, menyampaikan mesej bahaya rasuah dan pentingnya rasuah dihapuskan, serta menyebarkan mesej pentingnya tanggungjawab diamanahkan kepada orang yang bebas daripada rasuah,'' titah baginda ketika melancarkan buku tersebut di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Iklan

Titah Sutan Nazrin, Mohd Kamal mengarang buku itu untuk menyokong kempen memerangi rasuah yang digerakkan oleh Rasuah Busters bermula tahun 2021.

Baginda menjelaskan, penulis memilih dua kata kunci iaitu korupsi dan kemunafikan, secara berani dan mengaitkan dua kata kunci tersebut dengan politik Melayu, sebagai tajuk buku.

Iklan

"Orang Melayu, untuk sekian lama, dikenali dengan budaya berkias, bertamsil (perumpamaan), beribarat dan bergurindam. Kerana mahu menjaga hati dan perasaan, orang Melayu lazimnya amat berhati-hati ketika mahu menyuarakan teguran, malah bersedia memukul anak sendiri meskipun marahnya pada menantu.

"Sesungguhnya, pendekatan penulis, merupakan pendekatan baharu di luar norma - di luar kotak budaya bangsa. Penulis berkemungkinan menghadapi risiko tidak disenangi oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu, terutama yang terasa pedasnya cili.

"Namun penulis bersedia menghadapi risiko tersebut kerana mahu bangsanya disentakkan, agar bangun dari lena dan leka, semoga segera sedar bahawa bangsanya dan negaranya sedang menghadapi virus penyakit yang sangat memudaratkan. Jauh lebih berbahaya daripada serangan virus Covid-19," titah Sultan Nazrin.