SHAH ALAM - Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mendakwa ada 'watak' agama yang kadang-kadang menjual agamanya demi kepentingan dunia.
Beliau berpandangan senario inilah yang berlaku terhadap masyarakat di negara ini yang tidak berani menegur atas kesalahan dilakukan melibatkan pihak tertentu.
"Sebagai contoh pesalah yang telah dipersalahkan dalam mahkamah, telahpun dipertahankan oleh tokoh-tokoh agama yang dikenali di Malaysia.
"Kita tidak suruh bersorak-sorak dan bergembira apabila dia dimasukkan ke dalam penjara tetapi kesalahannya itu bukan kesalahan yang sedikit, bukannya kecil dan ia menyebabkan negara kerugian," katanya.
Beliau berkata demikian di program Wacana Sinar Khas yang bertajuk Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Wacana khas tersebut menampilkan panel berprofil tinggi iaitu Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dan Profesor Seni Bina Islam Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajudin Mohd Rasdi.
Sesi wacana khas itu dikendalikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Beliau berharap ada di kalangan masyarakat mempunyai satu 'common sense' untuk menegur ahli agamawan ini yang dilihat mendiamkan diri atau mempertahankan seseorang yang dijatuhi kesalahan atau terlibat mana-mana skandal.
"Ini masalahnya apabila kita menganggap perlu hormat dan memberikan penghormatan baik pada orang beragama dan berilmu.
"Itu betul tetapi bukan untuk kita mendiamkan diri kesalahan dibuat walaupun dilakukan sendiri oleh orang agama," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pergerakan awam perlu digerakkan dan Rasuah Busters sedang dimulakan tetapi perkara tersebut tidak mudah.
"Ini tidak mudah sebab kita tahu dalam kajian-kajian terbaharu masyarakat terutama pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi survey ini dilakukan. Apabila mereka mungkin boleh dapat manfaat dari korupsi dan rasuah itu, tiada masalah untuk terima.
'Itu juga menjadi satu bebanan kepada orang agama kerana orang Melayu ini selain dari bangsa, dia mempunyai unsur agama yang sangat kuat.
"Tidak ramai orang yang berceramah dan berkhutbah di meja-meja penceramah ini mahu bercakap secara terbuka dan secara tepat tentang rasuah," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan ia bukanlah suatu yang mudah untuk meningkatkan penglibatan anak muda menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen disebabkan faktor kewangan.
"Unsur kewangan itu sangat penting dan kuat untuk menyertai pilihan raya. Jika seseorang itu ada kaitan dengan institusi pendidikan seperti institut pengajian tinggi awam (IPTA) maka dia terpaksa tinggalkan pekerjaan yang bergaji.
"Sebab itu, kita lihat watak dan calon-calon lebih senior kerana mereka mempunyai kewangan dan pekerjaan stabil berbanding anak-anak muda yang tidak mudah masuk bertanding pilihan raya dan menjadi pembuat dasar. Akhir sekali kitaran itu tetap sama," tambahnya.