SEOUL - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol yang sedang bergelut dengan tahap populariti rendah kembali mendapat perhatian ramai gara-gara kenyataannya mengutuk sekutunya, Amerika Syarikat (AS) menjadi tular.
Komen lantang Suk-yeol tersebut yang dinyatakan kepada pembantunya ditujukan terhadap usaha Presiden Joe Biden untuk meningkatkan sumbangan Washington kepada Dana Global, namun ia masih perlu diluluskan kongres.
Iklan
Iklan
Rakaman video yang dimuat naik di YouTube itu turut mendapat lebih dua juta tontonan dalam tempoh beberapa jam selepas perkongsiannya.
Imej Suk-yeol yang mengambil alih jawatan pada Mei lalu dikatakan semakin tercalar selepas pemimpin itu menggunakan bahasa kesat malah ia menjadi topik trending nombor 1 pengguna Seoul di Twitter pada Khamis.
"Kenyataan kasar dan tindakan beliau adalah lambang kepada maruah negara," kata salah seorang pengguna di YouTube.
Insiden memalukan itu berlaku beberapa hari selepas pejabat Suk-yeol mempertahankan keputusan pemimpin itu kerana tidak dapat menghadiri upacara pengebumian negara mendiang Ratu Elizabeth II atas alasan berdepan 'kesesakan lalu lintas'.
Pada bulan lalu, bekas pendakwa raya awam itu juga dikritik kerana respons 'huru-hara' terhadap kunjungan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi setelah beliau mengadakan lawatan kontroversi ke Taiwan. - AFP