JOHOR BAHRU - BN Johor menolak cadangan pembangkang untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri bagi menjalankan kajian dan meneliti pelaksanaan Enakmen Anti-Lompat Parti.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tiada keperluan berbuat demikian apatah lagi untuk membincangkannya kerana sudah diluluskan di peringkat Persekutuan malah mendapat sokongan majoriti.
"Di peringkat awal, semua sudah diambil kira sebelum ditetapkan di Parlimen termasuk dilihat daripada segi perlembangaan, Persekutuan dan juga undang-undang tubuh peringkat negeri.
"Jadi usul atau cadangan yang dibawa pembangkang untuk membentuk jawatankuasa khas bagi meneliti enakmen ini kita tolak," katanya dalam sidang akhbar di Double Tree Hilton Hotel di sini pada Khamis.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar dekat sini pada Khamis, Marina Ibrahim (PH-Skudai) mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti.
Hasni menjelaskan, penolakan itu adalah terhadap cadangan penubuhan jawatankuasa khas dan bukannya menolak pelaksanaan enakmen terbabit.
"Tidak timbul isu sama sekali bahawa kita menolak enakmen ini di peringkat negeri, cuma kita tidak faham kenapa perlu adanya jawatankuasa ini," ujarnya.
BN Johor katanya, merasakan pembentangan rang undang-undang itu di peringkat Parlimen sudah melalui proses yang menyeluruh dengan pelbagai pindaan dibuat dan masa sepenuhnya sudah diberikan kepada semua pihak untuk teliti.
"Kita turut memasukkan pemakaian enakmen itu dalam Ikhtiar Johor pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu sebagai tanda komitmen untuk menggunakan enakmen berkenaan.
"Saya harap apabila tiba masa ia dibentangkan di peringkat negeri, tiada lagi bantahan diterima. Jika mereka (pembangkang) tidak faham, mereka hanya perlu bekerjasama dengan pemimpin di peringkat pusat dan dapatkan penjelasan lanjut daripada mereka," katanya.